Friday, October 29, 2010

Peluru tembusi otak mangsa





SHAH ALAM 28 Okt. - Seorang pakar perubatan forensik hari ini mengesahkan remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah meninggal dunia hampir serta merta pada 26 April lalu akibat luka tembakan di kepala.
Dr. Khairul Azman Ibrahim yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini berkata, sebutir peluru telah mengenai bahagian kiri belakang kepala dan menembusi otak mangsa sebelum keluar dari tengkorak bahagian kanan dahi berhampiran kening.
Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang berpendapat, pelajar Tingkatan Tiga itu mempunyai peluang hidup yang tipis kerana luka tembakan itu terlalu hampir dengan bahagian batang otak.
''Satu tembakan mengenai belakang kepala mangsa sehingga peluru tembus di bahagian depan tengkorak di bawah kulit menyebabkan sekitar kening kanan lebam.
''Kemungkinan besar mangsa mati hanya beberapa minit atau saat selepas ditembak kerana luka tembakan tersebut terlalu hampir dengan bahagian otak yang mengawal pernafasan,'' katanya.
Khairul Azman yang merupakan saksi pendakwa ke-23 berkata demikian sewaktu menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Adilla Ahmad semasa sesi pemeriksaan utama.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Menurut Khairul Azman, tembakan yang mengenai bahagian belakang kepala dengan kesan luka sebesar 1x0.5 sentimeter sehingga menyebabkan kematian mangsa mungkin dilepaskan dari jarak jauh.
Beliau berpendapat demikian berikutan tiada kesan terbakar pada kulit kepala selain anak peluru tersebut tidak menembusi kepala mangsa.
''Tembakan yang dikesan itu berbentuk bulat dan bukan berbentuk bintang dalam kes-kes yang ditembak kurang dari jarak satu kaki. Kalau dekat biasanya peluru akan tembus.
''Saya juga difahamkan oleh pegawai penyiasat kes ini bahawa terdapat satu kesan tembakan pada cermin belakang kereta yang dipandu oleh mangsa,'' katanya.
Hasil bedah siasat yang dilakukan pada pukul 3.15 petang, 26 April lalu, saksi itu turut menjumpai kesan-kesan calar dan lebam pada beberapa bahagian badan Aminulrasyid.
Beliau bagaimanapun berpendapat ia mungkin berlaku akibat pergeseran dengan objek tumpul disebabkan impak perlanggaran atau hentakan pada papan pemuka kereta.
Pada prosiding hari ini, Khairul Azman turut mengecam sehelai baju- T, seluar pendek dan seluar dalam berlumuran darah yang dipakai oleh Aminulrasyid semasa mayatnya dibawa ke HTAR.
Mahkamah terpaksa berhenti rehat untuk seketika selepas bahan-bahan bukti itu dibuka daripada bungkusan masing-masing berikutan bau darah kering yang agak kuat.
Sementara itu, Shaari Desa dari Jabatan Kimia pula mengesahkan tembakan telah dilepaskan daripada dua sub-mesingan Heckler & Koch MP5 yang didaftarkan keluar atas nama Jenain dan Konstabel Mohd. Izham Mahayadin.
Beliau yang merupakan Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat, Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik berkata, sebanyak 13 kelongsong peluru yang dianalisis sepadan dengan senjata api yang digunakan oleh Jenain pada malam kejadian.
Sementara tiga lagi kelongsong peluru yang dikatakan ditemui di sekitar jalan antara Bulatan Kayangan ke Jalan Tarian di Seksyen 11 di sini pula sepadan dengan senjata yang digunakan Mohd. Izham.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung pada 9 November ini.

No comments:

Post a Comment