Friday, October 29, 2010

UMNO tendang Pas dulu: MB



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas menegaskan kerjasama Pas dengan DAP selama ini kerana DAP mahu bersama-sama berjuang dengan parti itu dan ia berbeza kerjasama antara UMNO dan MCA. 

Bagaimanapun, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, UMNO pula pernah menendang Pas keluar tanpa sebarang rundingan tetapi kembali ‘jual muka’ apabila Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu. 

“Kami (Pas) tidak mahu bersama UMNO kerana pertama dia tendang kami dulu bukan kerana kami salah. Tetapi kami ditendang tanpa sebarang rundingan atau apa-apa penjelasan. 

“Pada asasnya Pas bersama DAP kerana parti itu mahu bersama kami, berbeza pula dengan UMNO kerana UMNO tendang kami. Takkan selepas ditendang kami nak masuk semula (kerjasama dengan UMNO),” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Pas terus mengeluarkan ‘fatwa’ sesuka hati berhubung kerjasama UMNO dengan MCA dalam Barisan Nasional (BN). 

Katanya, tindakan menganggap kerjasama UMNO dengan MCA adalah salah tetapi dalam masa yang sama ‘menghalalkan’ kerjasama Pas dengan DAP, membuktikan pemimpin Pas suka membuat ‘fatwa’ sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka. 

Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya yang menganggap kerjasama parti itu tidak salah sebaliknya kerjasama antara UMNO dan MCA yang salah. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata, dahulu DAP pernah meminta Pas membuang Islam dalam dasar perjuangannya ketika dalam Barisan Alternatif tetapi Pas enggan kerana jika dasar Islam dibuang tiadalah Pas. 

“Jadi DAP mengambil keputusan keluar dari kerjasama itu namun parti itu masuk semula kerana ia mahu bersama Pas,” katanya. 

Oleh itu, katanya, sebelum menimbulkan isu berkenaan Muhyiddin sepatutnya mengkaji sejarah kerjasama Pas dan UMNO terlebih dahulu. 

Ini kerana katanya, pada asalnya Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO namun kerana pujukan Allahyarham Tun Abdul Razak yang menjemput Pas lalu ia diterima. 

Menurutnya, ketika itu Pas berpecah kepada empat iaitu, Pas, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa berikutan Pas tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO. 

“Saya antara individu yang hendak sekali masuk Barisan Nasional ketika itu tahun 70-an, tetapi apabila masuk kami ditendang pula bukannya kami keluar pada 1978. Banyak usaha daripada Pas untuk bersama orang lain memenangi pilihan raya-pilihan raya dalam negara. 

“UMNO pula tidak menjemput kami semula tetapi apabila kalah teruk pada PRU 12 baru mereka ‘jual muka’ kepada Pas supaya tolong BN semula. Tetapi Pas tidak pernah ‘jual muka’ kepada UMNO,” katanya. 

Nik Abdul Aziz berkata, isu kerjasama Pas dengan DAP ada asasnya berdasarkan beberapa faktor sejarah Islam termasuk Nabi Muhammad SAW berlindung dengan golongan orang bukan Islam ketika dilarang masuk ke Madinah.

No comments:

Post a Comment