Wednesday, October 27, 2010

Saida, suami diberi tempoh dua bulan berbincang



Siti Nursaida Tarudin


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Desas-desus mengenai keretakan rumah tangga penyanyi Saida yang juga kakak penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza akhirnya terjawab di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Saida, 34, atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, di mahkamah tersebut pada 6 Oktober lalu.
Permohonan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 46 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Hari ini kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi dengan dihadiri oleh peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Saida.
Bagaimanapun, Saida dan suaminya tidak muncul di mahkamah kerana kedua-dua mereka telah dikecualikan daripada hadir.
Pada prosiding itu, Noor Azlina memohon agar mahkamah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kerana kedua-dua pihak berhasrat mengadakan perbincangan semula sama ada mahu meneruskan permohonan tersebut ataupun sebaliknya.
Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember ini.
Ketika dihubungi media, peguam berkenaan menyatakan bahawa anak guamnya berkemungkinan meneruskan, meminda atau menarik balik permohonan itu.
Katanya, segalanya bergantung kepada hasil perbincangan dalam tempoh dua bulan yang diberi itu.
Menurut beliau, setakat ini, suami Saida belum melantik peguam syarie bagi mewakilinya.
Pasangan tersebut bernikah pada 14 Disember 1996 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 13; Anas, 11; Khalid, 7; dan Siti Nurul Mashitah, 4.
Saida pernah menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) musim keenam dan telah muncul dengan album pertama berjudul Apresiasi bersama adiknya, Siti Sairah pada Mac lalu.

No comments:

Post a Comment