NUR AIN memberi reaksi positif selepas sedar dari koma di HSI, semalam. |
NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.
KOTA TINGGI (Johor): Seorang remaja berusia 17 tahun dan sedang hamil, kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki yang dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini pagi kelmarin. Mangsa berkenaan, Nur Ain Ashikin Jemedi, dilaporkan sedang bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13 tahun, dan seorang anak saudaranya, apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Timbalan Superintenden (DSP) Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa terselamat. Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki itu keluar dan mengambil asid yang dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran, sebelum dia masuk semula rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung. 'Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid ke kepala dan tubuh mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan pula. 'Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,' kata DSP Muhammad pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kelmarin. Menurutnya, suspek yang berumur 44 tahun itu ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa. Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu sebagai cemburu, dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan. 'Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,' kata DSP Muhammad. Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman. 'Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa memandangkan tiada kesan tikaman mengenainya,' kata DSP Muhammad lagi. -- Harian Metro. |
No comments:
Post a Comment