Monday, January 10, 2011

3 beradik gagal ke sekolah




Chang Hong Seong cuba mengenakan pakaian sekolah baru kepada S. Devagaran sambil disaksikan adiknya, S. Mohan, S. Nanthakumal dan ahli keluarganya di Pusat Khidmat Rakyat, Bangunan MCA, Kuantan, semalam.


KUANTAN 9 Jan. - Tiga beradik ini terpaksa melupakan hasrat untuk menikmati alam persekolahan bersama rakan sebaya berikutan kesempitan hidup yang dihadapi keluarga mereka.
Lebih malang, ketiga-tiga beradik tersebut, S. Devagaran, 13, S. Mohan, 9, dan S. Nanthakumal, 7, yang tinggal di Taman Cenderawasih di sini, tidak mempunyai sijil kelahiran.
Ibu mereka, K. Santhi, 43, berkata, dengan pendapatan suaminya, V. Sangaran, 43, yang bekerja sebagai buruh sebanyak RM600 sebulan, ia tidak mencukupi untuk menampung persekolahan anak-anak mereka.
Menurut Santhi, dia yang mempunyai 10 anak berusia antara sembilan bulan hingga 19 tahun itu terpaksa menyerahkan dua daripada mereka kepada saudara lain untuk dipelihara.
"Anak sulung dan kedua terpaksa berhenti sekolah dan bekerja untuk menambah pendapatan isi rumah kerana pendapatan suami sememangnya tidak mencukupi untuk membayar sewa dan keperluan harian," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kelengkapan peralatan persekolahan kepada keluarganya di Pusat Khidmat Rakyat di Bangunan MCA, di sini hari ini.
Penyerahan itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong.
Hadir sama, Ketua Wanita MIC Bahagian Kuantan, M. Saresa.
Santhi berkata, dia runsing memikirkan masa depan anak-anaknya apabila ketiga-tiganya tidak mempunyai sijil kelahiran.
Dia juga bimbang terhadap nasib keluarganya berikutan kegagalan membayar sewa rumah yang tertunggak sejak dua bulan lalu.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu menyelesaikan masalah keluarganya dan berharap dengan bantuan yang diberikan, anak-anaknya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Sementara itu, Hong Seong yang ditemui berjanji akan menyelesaikan masalah pembayaran sewa rumah keluarga tersebut yang tertunggak selama dua bulan.
"Saya akan memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan," katanya
Saresa berkata, bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang, pihaknya akan membantu keluarga tersebut dengan menguruskan pendaftaran sijil kelahiran kesemua anak Santhi secepat mungkin.
"Kami sentiasa prihatin dan membantu setiap mereka yang memerlukan pertolongan dan sedaya upaya memberi sebarang bentuk bantuan bagi membela nasib golongan seperti ini," katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment