Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok sempena tahun baru 2011 namun ia menjadi tanda tanya apabila Siti, 39, ditahan Jabatan Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu.
Berikutan itu, Siti ditahan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini setelah permitnya didapati tamat pada November lalu.
Namun Nurhisham yang berasal dari Jalan Bendahara di sini nekad untuk meneruskan perkahwinan seperti dirancang walaupun terpaksa dilakukan di depot tahanan itu dengan seadanya tanpa dihadiri saudara-mara dan sahabat handai.
Justeru, tanpa sebarang hantaran, Nurhisham dan Siti memilih hari ini untuk diijabkabulkan dengan mas kahwin sebanyak RM40.
Dengan sekali lafaz, kedua-dua mereka menjadi pasangan suami isteri pada pukul 11.56 pagi setelah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Melaka, Abdul Halim Tawil di surau depot berkenaan.
Walaupun demikian, apa yang mengharukan pasangan berkenaan ialah kerjasama 150 kakitangan depot tersebut yang turut bersama meraikan majlis perkahwinan mereka dengan bergotong-royong menyediakan makanan.
Turut sama, 19 tahanan wanita yang menjadi 'tetamu' majlis tersebut.
Menurut Nurhisham, dia dan isteri sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok setelah membuat pelbagai persiapan termasuk mendaftar di pejabat agama Islam negeri.
"Namun, isteri saya telah ditahan pihak Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu apabila mendapati permitnya tamat pada November lalu.
"Alhamdulillah walaupun menghadapi rintangan, Allah telah mempermudahkan apabila pihak Imigresen juga bersetuju membenarkan kami melangsungkan pernikahan di surau depot ini," kata pengusaha kedai makan itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nurhisham yang memeluk Islam 14 tahun lalu berkata, ini merupakan perkahwinan keduanya dan isterinya itu juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 24 tahun.
"Tidak pernah terlintas di fikiran, perkahwinan saya ini akan mendapat liputan seluruh negara," katanya yang terkejut apabila melihat beberapa wakil media cetak dan elektronik merakamkan detik manis hidupnya itu.
Menurut Siti, perasaannya gembira bercampur sedih apabila terpaksa melangsungkan perkahwinan keduanya itu sebagai seorang tahanan di depot tersebut.
Namun begitu, katanya, dia terharu dengan usaha kakitangan pihak depot terbabit yang bergotong-royong menyediakan makanan bagi meraikan majlis pernikahannya itu.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Imigresen yang sentiasa menjaga kebajikan tahanan di sini dan merealisasikan permintaan saya ini," katanya disertai linangan air mata.
Sementara itu, Komandan depot tersebut, Abu Bakar Sideq Hasan berkata, ini adalah kali pertama pihaknya meraikan pernikahan tahanan di depot tersebut sejak ia beroperasi 20 tahun lalu.
"Memang menjadi keutamaan kami untuk menjaga kebajikan setiap tahanan di sini apatah lagi pasangan ini mempunyai dokumen yang lengkap untuk melangsungkan pernikahan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment