Monday, January 24, 2011

Hidup Hassin dirundung malang



HELMI Abdul Khan (tengah) melihat Hassin Wan (kiri) yang menderita sakit kulit sambil diperhatikan Roslinda di Kampung Bukit Buluh, Serdang, Bandar Baharu, Kedah, semalam.


BANDAR BAHARU 23 Jan. - Seorang buruh terkilan kerana terpaksa menyaksikan penderitaan anak gadisnya yang berdepan kemungkinan lumpuh seumur hidup akibat penyakit leukimia sejak lima tahun lalu.
Hassin Wan, 56, dari Kampung Bukit Buluh, Serdang, dekat sini terpaksa berulang alik membuat pemeriksaan penyakit anaknya, Roslinda, 15, di Hospital Pulau Pinang (HPP) antara dua hingga tiga kali sebulan.
Menurut Hassin, anak ketiga daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit leukimia selepas tiba-tiba terjatuh di rumahnya ketika berusia 10 tahun sehingga menyebabkan tumbesaran terjejas dan berat badannya tidak seperti gadis biasa.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, isterinya, Noraini Harun, 44 , yang sebelum ini membantu menguruskan keluarga meninggal dunia akibat asma kira-kira empat tahun lalu.
Tambah malang, Hassin pula menghidapi sejenis penyakit kulit kronik yang menyukarkannya untuk bekerja mencari nafkah bagi menanggung keluarga.
Lelaki itu memberitahu, dia sekeluarga kini cuma bergantung hidup dengan anak sulungnya iaitu Mohd. Shawal, 27, yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit.
"Sebelum ini, saya bekerja sebagai buruh mengambil upah di ladang. Namun, selepas penyakit kulit bertambah teruk, saya terpaksa berhenti kerja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hassin berkata, keadaan kulitnya juga akan menjadi bertambah runcing apabila keluar peluh.
"Jika peluh keluar banyak, kulit akan jadi gatal dan sekiranya digaru ia akan keluar darah serta diburukkan lagi dengan kulit menjadi nanah," katanya.
Katanya, dia sebelum ini mendapatkan rawatan dengan pakar kulit di Hospital Kulim (HK) dan diberikan krim untuk disapu.
Bagaimanapun, katanya, ubat yang diberikan tersebut didapati tidak serasi dan terpaksa ditukar kepada ubat jenis lain yang hanya diperoleh di farmasi swasta.
"Saya kini dinasihatkan menggunakan sejenis ubat sapu yang berharga RM12 sekotak dan memerlukan antara 10 hingga 12 kotak sebulan," katanya
Mengenai keadaan Roslinda, Hassin berkata, anaknya itu sering terjatuh dan tidak mampu terlibat dalam aktiviti sukan atau kerja berat.
"Sebak hati saya bila doktor menyatakan dia mungkin lumpuh jika tidak dirawat. Malah, keadaan tulang sumsum tidak berapa kukuh. Dia juga perlu tukar bekalan darah dalam jumlah yang banyak jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.
Hassin memberitahu, doktor di HPP pernah mencadangkan kepadanya untuk membawa Roslinda mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.
"Namun, saya terpaksa menolak kerana tidak mampu, lagipun saya tidak ada saudara-mara di sana," katanya.
Tambahnya, disebabkan kesempitan wang, dia juga masih gagal membayar yuran persekolahan Roslinda berjumlah RM97.50 semasa memasuki sesi persekolahan baru-baru ini.
"Dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 dan pendapatan Mohd. Shawal kira-kira RM500 sebulan, ia tidak cukup untuk sara hidup kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan yang mengungjungi keluarga itu berkata, pihaknya akan menyelesaikan bayaran yuran Roslinda yang kini belajar di Sekolah Menengah Serdang Baru.
"Selain, itu, kita juga akan berbincang dengan pihak berwajib seperti JKM untuk menimbang pemberian bantuan tambahan bagi meringankan beban yang dihadapi Hassin dan keluarga," jelasnya.
Beliau juga merayu orang ramai menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Hassin untuk mendapatkan rawatan secara berterusan di hospital.
Mereka yang bersimpati dengan nasib malang keluarga itu boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Roslinda bernombor 071004100048741 atau menghubungi Hassin di talian 016-4364745.

No comments:

Post a Comment