Monday, February 7, 2011

6 tahun tinggal dalam rumah bocor

Utusan Malaysia Online - Utara



RUMAH baru milik Ahmad Salleh dan Zainab Ismail yang terbengkalai enam tahun di Kampung Alor Merah, Tasek Gelugor, baru-baru ini.


TASEK GELUGOR 6 Feb. - Setiap kali hujan lebat, pastinya pondok usang yang didiami sepasang warga emas di Kampung Alor Merah di sini dimasuki air.
Itulah nasib yang dilalui pasangan Ahmad Salleh, 71, dan isteri, Zainab Ismail (gambar), 55, sejak enam tahun lalu.
Bukan mereka tidak mahu berpindah tetapi rumah baru yang sedang dalam pembinaan terbengkalai akibat kesempitan wang.
Zainab memberitahu, suaminya membelanjakan kira-kira RM10,000 selepas mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membina rumah baru itu.
"Dia keluarkan duit untuk bina rumah baru pada 2006 tetapi tidak cukup menyebabkan projek terbengkalai sampai sekarang," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Akibatnya, mereka terpaksa tinggal di sebuah pondok lama yang terletak berdekatan.
Menurutnya, pendapatan suaminya sebanyak RM400 sebulan sebagai pemandu lori tidak cukup menyelesaikan masalah tersebut.
"Lagi pun suami tidak begitu sihat kerana menghidap penyakit kencing manis," katanya.
Jelasnya, dia ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Urus Zakat tetapi tidak mendapat maklum balas.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Alor Merah, Mohd. Faidaus Muslim berkata, dia bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan berkenaan.
"Rumah mereka sampai sekarang tiada bekalan elektrik dan diharap keluarga ini perlu dibantu," katanya.

No comments:

Post a Comment