SUNGAI PETANI 7 Feb. - Nasib sepasang suami isteri buta yang terpaksa hidup dalam keadaan daif dan hanya mampu berteduh di sebuah rumah sewa usang di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini sejak beberapa tahun lalu, amat menyedihkan.
Osman Saad, 52, bersama isterinya, Wan Azriah Wan Ahmad, 37, tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana pendapatan mereka tidak menentu.
Menurut Osman, wang yang diperoleh hasil mengambil upah menyanyi dan menjual tisu di pasar malam hanya cukup makan dan keperluan seharian mereka.
Bagaimanapun, dia dan isteri kini tidak lagi berupaya meneruskan 'kerjaya' tersebut ekoran masalah kesihatan yang dihadapi.
"Saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sementara isteri pula menderita penyakit kayap serta penyakit saraf. Oleh kerana pergerakan terbatas, kami tidak mampu lagi keluar rumah mencari nafkah," katanya kepada Utusan Malaysia selepas dikunjungi Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di sini baru-baru ini.
Osman yang berasal dari Tasik Melati, Perlis bertemu jodoh dengan Wan Azriah dari Pengkalan Chepa, Kelantan semasa bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia 10 dan sembilan tahun.
Bagaimanapun Osman memberitahu, akibat kesempitan hidup, dia dan isteri mengambil keputusan menyerahkan anak-anak kepada kakak Wan Azriah untuk dijaga di Kuala Lumpur.
"Selepas berhenti kerja di Pulau Pinang, kami hidup berpindah-randah termasuk menetap di Seberang Perai dan Sungai Petani sebelum menetap di Kampung Padang Buluh," katanya.
Tambah Osman, dia dan isteri kini hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
"Setiap bulan saya kena bayar sewa rumah dengan harga RM150. Sementara bakinya pula adalah untuk keperluan harian dan ubat-ubatan serta kos rawatan ke klinik," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan rumah mereka amat daif dengan bumbung yang berlubang-lubang, sebuah bilik dan tiada tandas yang sempurna serta ruang dapur yang agak sempit.
Namun Wan Azriah berkata, dia dan suami tetap bersyukur kerana turut dibantu oleh jiran-jiran termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Azmi Mohamad.
"Kadang-kadang malu juga, tapi nak buat macam mana, nasib kami sudah ditakdirkan begini," ujarnya.
Tambahnya, bagi mengurangkan bebanan bil perubatan, mereka hanya mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia yang terletak di Bandar Puteri Jaya, kira-kira 20 kilometer dari rumahnya.
"Hendak pergi hospital jauh pula jaraknya, tambahan pula kami tak mampu bayar kos pengangkutan," katanya.
Sementara itu, Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan tambahan daripada pihak lain termasuk pejabat zakat dan orang perseorangan.
"Walaupun mendapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM, pasangan ini masih memerlukan perhatian sewajarnya dengan keadaan mereka yang masing-masing buta dan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Pergerakan Puteri UMNO akan memantau keperluan Osman dan Wan Azriah secara berterusan sambil mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan kehidupan pasangan itu tidak terpinggir.Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh mengunjungi pasangan itu di alamat No. 30, Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah atau menelefon Osman di talian 013-4107792.Utusan Malaysia Online - Utara
No comments:
Post a Comment