Monday, February 28, 2011

Sewa tak masuk akal


Oleh Adli Shahar

2011/02/28


SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
SARIMAN menunjukkan rumahnya yang disewakan kepada belia di kampung Desa Murni Sanggang Kerdau sepanjang pilihan raya DUN Kerdau selama 10 hari.
Pemilik rumah DUN Kerdau ambil kesempatan naikkan harga

TEMERLOH: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau turut membawa rezeki terpijak kepada penduduk sekitar bandar ini kerana ada antara mereka yang menyewakan rumah atau premis perniagaan dengan harga tinggi hingga mencecah lebih RM20,000 bagi tempoh hanya dua minggu.

Keperluan mendesak khususnya di kalangan penyokong parti bertanding, selain kekurangan bilik hotel yang boleh ditempah, menjadikan permintaan terhadap rumah penduduk bagaikan pisang goreng panas.
Seorang penduduk bertindak sebagai orang tengah bagi mencari penyewa rumah ini, Ramli Yusuf, berkata kebanyakan penyewa premis itu membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik, pemerhati dan pihak berkuasa, selain petugas media.
Ramli, 32, berkata, kebanyakan rumah teres biasa berdekatan kawasan Kerdau disewa dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 seunit, manakala di Temerloh pula, kadar sewanya rendah sedikit iaitu antara RM1,000 hingga RM5,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga penduduk berjaya menyewakan rumah banglo mereka kepada petugas parti hingga mencecah kira-kira RM21,000.

"Kadar sewa ini bagaikan durian runtuh kepada pemilik rumah sewa kerana kadar biasa rumah sewa di kawasan Kerdau hanya RM150 hingga RM250 sebulan, manakala di Temerloh pula hanya antara RM200 hingga RM400 sebulan, bergantung kepada jenis rumah.

"Disebabkan berlaku pilihan raya kecil dan permintaan untuk menyewa rumah adalah tinggi, pemilik rumah mampu memperoleh pendapatan luar biasa dan sewa diperoleh ini boleh menampung bayaran bulanan rumah mereka untuk jangka panjang.
"Paling mengejutkan, unit rumah kos rendah yang selama ini terbiar kosong di Kerdau tanpa sebarang kemudahan, turut dijadikan penginapan mereka yang terbabit dalam pilihan raya DUN Kerdau ini dengan sewa dikenakan RM5,000," katanya.

Ramli berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan panas bagi sewaan rumah ini adalah di kawasan Desa Murni, Ketumbit dan Rumpun Makmur di Kerdau kerana kedudukannya berdekatan dengan tempat berkempen.

"Kadar sewa ini seolah-olah satu bonus kepada masyarakat kawasan ini kerana kebanyakannya bekerja sebagai petani atau melakukan kerja kampung.

"Biasanya rumah yang disewa ini dijadikan rumah kedua oleh pemiliknya atau dibiarkan kosong begitu saja, malah ada pemilik rumah yang tinggal di situ sanggup mengosongkan kediaman dan tinggal bersama keluarga bagi membolehkan rumah mereka disewa.

"Saya mengakui harga ini tidak masuk akal tetapi disebabkan permintaan bagi premis tempat tinggal agak tinggi kali ini, pemilik rumah sewa masih berjaya mendapatkan penyewa," katanya.

Sementara itu, Sariman Jaafar,32, dari Desa Murni, Sanggang, berkata dia menyewakan rumahnya RM4,000 kepada sekumpulan belia bagi tempoh 10 hari.

Katanya, wang diperoleh itu akan digunakan bagi menampung kehidupan sekeluarga selepas ini.

"Kami mendapat rezeki tidak diduga dan disebabkan tawaran yang menarik, saya dan isteri sanggup berpindah sementara tinggal di rumah abang berdekatan kawasan ini selama tempoh rumah itu disewa," katanya.

Rakannya, Zamri Mohamad Saaid, 31, pula menyewakan rumahnya dengan kadar RM5,500 bagi tempoh sama kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Saya akan menggunakan wang sewa diperoleh itu untuk memperbaiki rumah terutama bahagian pagar.

"Sekarang kami menumpang tinggal di rumah keluarga mentua dan bersyukur kerana kempen pilihan raya ini memberi rezeki tambahan kepada penduduk di sini," katanya.
Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment