Tuesday, March 15, 2011

Anak terbuang mencari waris

Pemuda rindu belaian keluarga



KULAIJAYA – “Dapat jumpa keluarga kandung saya walaupun hanya seminit pun jadilah. saya sudah tidak tahan hidup dalam kesunyian tanpa keluarga dan tidak tahu mengenai asal-usul sendiri.”

Demikian yang diluahkan seorang pemuda yang sanggup menolak tawaran menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), demi mencari ibu dan bapa kandung yang tidak pernah ditemui sejak 22 tahun lalu.

Mohd Senawi Mansor, 22, (gambar) berkata, sejak dilahirkan, dia membesar di Pusat Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar setelah dia dikatakan dijumpai seorang pengutip tin berbangsa Cina di Pulau Pinang.

“Saya ditemui oleh seorang pengutip tin ketika ditinggalkan masih bertali pusat di dalam beg di sebuah terminal bas dan menyerahkan saya kepada pihak polis.

“Berdasarkan rekod dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat nota tertulis nama Mansor sebagai bapa saya dan alamatnya semasa saya ditemui, namun alamat berkenaan didapati palsu,” katanya.

Mohd Senawi yang telah keluar dari pusat jagaan kanak-kanak berkenaan sejak setahun lalu berkata, sehingga kini dia masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai latar belakang keluarganya.

“Sejak keluar dari pusat jagaan itu, saya telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mencari keluarga kandung termasuk menyiarkannya di dalam televisyen, namun tetap tidak menemui sebarang maklumat.

“Malah saya sendiri berasa sangsi sama ada nama Mansor yang tertulis pada kad pengenalan saya merupakan nama sebenar bapa kandung saya,” katanya.

Katanya, dia ada menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku mengenalinya selepas beberapa hari dia menyiarkan berita mencari keluarganya di dalam sebuah akhbar, namun pemanggil berkenaan enggan menemuinya.

“Pemanggil berkenaan mengaku mengenali saya dan terus mematikan talian tanpa memberitahu lebih lanjut mengenainya.

“Kemudian saya menerima pesanan ringkas dari pemanggil sama yang meminta saya menghebahkan sekali lagi mengenai pencarian keluarga kandung untuk mengenal pasti saya dengan lebih teliti,” katanya.

Dia yang kini menumpang di sebuah rumah keluarga angkat di Taman Sri Putri, di sini, berharap dapat menemui semula keluarga kandungnya setelah 22 tahun terpisah tanpa mengetahui asal-usul keturunannya.

Sehubungan itu, Mohd Senawi berharap orang ramai yang mengenalinya atau mempunyai maklumat mengenai keluarganya agar menghubunginya di talian 014-7747271.
SH

No comments:

Post a Comment