KUALA LUMPUR: “Saya mahu menjadi Ketua Polis Negara suatu hari nanti,” demikian antara kata-kata terakhir pelatih inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Mohd Ridzuan Ishak, 26, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, awal pagi semalam, akibat jangkitan Adenovirus atau virus kencing tikus.
Bapanya, Ishak Daharin, 48, berkata, arwah menceritakan impiannya itu kepadanya, baru-baru ini.
Menurut Ishak, biarpun ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, Sabtu lalu, arwah masih bersemangat untuk pulih dan mahu menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) bagi mengejar impiannya itu.
“Namun, impian Mohd Ridzuan dan harapan keluarga untuk melihat dia mencapai cita-citanya hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.
Mohd Ridzuan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi semalam selepas menerima rawatan di HKL sejak seminggu lalu.
Daharin yang bekerja sebagai jurukamera di Astro berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu bersemangat mahu keluar ICU, tetapi keadaannya kritikal akibat serangan virus merebak begitu cepat.
“Arwah tidak pernah berputus asa apabila menghantar permohonan tiga kali semata-mata mahu menjadi pegawai polis dan sanggup berhenti kerja sebelum ini walaupun gajinya cukup lumayan.
“Saya dan isteri, Faridah Anum Isa, 48, menyokong niat arwah yang berhati waja dan itu cita-citanya sejak kecil,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Buaya, Rawang.
Sementara itu, tunang arwah, Nor Hazwani Liana Azhan, 23, berkata, mereka bertunang Jun lalu dan merancang berkahwin Jun tahun depan selepas arwah selesai menjalani latihan di Pulapol November ini. Harian Metro sebelum ini lalu melaporkan seorang pelatih Pulapol, Mohd Azizan Azidi, 21, meninggal dunia 8 Mac lalu selepas dijangkiti virus kencing tikus.
Pada 16 Mac lalu, dua pelatih lelaki, masing-masing inspektor dan konstabel dirawat di ICU hospital berkenaan dan 40 orang lagi termasuk seorang kakitangan Pulapol ditempatkan di wad biasa.
No comments:
Post a Comment