GAMBAR menunjukkan kerosakan pada loji nuklear Fukushima. |
TOKYO: Paras radiasi di loji nuklear Fukushima meningkat ke tahap bencana semalam, memaksa pekerja yang berusaha menangani kebocoran radiasi meninggalkan kawasan itu untuk menyelamatkan diri.
Pegawai yang cemas memindahkan 50 pekerja awal pagi semalam selepas penggera di loji itu mengesan tahap radiasi mencapai tahap berbahaya kepada kesihatan manusia.
Helikopter tentera kemudian dikerah cuba mengatasi kebocoran lebih buruk dan menyejukkan reaktor terbabit dengan mencurahkan air dari udara.
Kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku bencana yang amat dahsyat meningkat seiring dengan kenaikan tahap radiasi dan pakar memberi amaran, loji di Fukushima itu kini menjadi ancaman nuklear hampir sama seperti peristiwa Chernobyl.
Lebih 140,000 penduduk dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu diarah supaya tidak keluar rumah sementara 180,000 yang tinggal lebih hampir dengannya sudah dipindahkan.
Orang ramai yang ketakutan memenuhi jalan raya untuk menyelamatkan diri.
Kerajaan Perancis menggesa warganya yang menetap di Tokyo supaya meninggalkan Jepun atau berlepas ke selatan negara itu, Selasa lalu, kebakaran berlaku di kolam simpanan bahan tenaga reaktor yang sama, kawasan tempat bahan negara nuklear yang digunakan disejukkan, menyebabkan bahan radioaktif terbebas ke udara.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, petugas yang cuba menyejukkan reaktor di loji Fukushima Dai-ichi dengan air laut sebagai usaha terdesak untuk menstabilkan suhu tidak mempunyai jalan lain kecuali menyelamatkan diri dari kawasan paling berbahaya itu.
“Mereka tidak boleh melakukan tugas di loji itu, walaupun yang paling minimum,” kata Edano.
Beliau turut memberi amaran, usaha mengatasi kebocoran radiasi dari udara dengan menggunakan helikopter mungkin tidak akan berjaya.
“Usaha mengatasi masalah itu tidak semudah dengan hanya mencurahkan air. Kami berusaha untuk mengelak daripada menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya. - DMmyMetro
No comments:
Post a Comment