Monday, March 7, 2011

Saudi didesak benar wanita memandu

myMetro
JEDDAH: Segelintir anak muda Arab Saudi membentuk kumpulan khas dalam Facebook bagi mendesak pemimpin negara itu membenarkan wanita memandu.
Pengasas kumpulan itu, Hilal al-Harithy, berkata mereka bercadang mengemukakan petisyen kepada kerajaan diketuai Raja Abdullah untuk memberi hak memandu kepada wanita negara itu.

“Kami berharap dapat melihat wanita dibenarkan memandu tiga tahun lagi,” katanya kepada media, semalam.

Menurut Hilal, untuk sementara, gerakan itu belum dianggap sebagai satu kempen kerana ia hanya petisyen dalam talian.

Katanya, ia dimulakan kerana anak muda Arab Saudi menganggap wanita negara itu mempunyai hak sama seperti wanita negara lain dalam dunia.


“Kedudukan wanita Arab Saudi setaraf dengan wanita lain dan tiada sebab mengapa mereka dilayan sebegini,” katanya.

Selain itu, kata Hilal, mereka memahami majoriti wanita Arab Saudi berdepan masalah pengangkutan.

Justeru, katanya, penyelesaian boleh dicapai jika kerajaan membenarkan wanita memandu sendiri.

Ahli kumpulan itu, Maha Tahir, berkata Islam sendiri tidak menafikan hak wanita.

“Justeru, gerakan ini mahu menggalakkan orang ramai berbincang mengenai masalah wanita dan cara menyelesaikannya,” katanya.


Sehingga semalam, kumpulan itu disertai 1,694 pemilik akaun Facebook dan sambutannya sangat menggalakkan kerana ia semakin popular dari sehari ke sehari.


Mereka mensasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 15,000 tandatangan sebelum petisyen itu diserah kepada Abdullah.


Selain penduduk Arab Saudi, gerakan itu turut berusaha mendapatkan sebanyak mungkin sokongan di kalangan warga negara berkenaan yang menetap atau bekerja di luar. - SG

No comments:

Post a Comment