SESHAGIRY ditemui mati dalam beg pakaian berhampiran jalan susur masuk ke Hentian Tol Bandar Baharu, Kedah Sabtu lalu. |
Dalam kesedihan itu, naluri keibuannya kuat membisikkan V Seshagiry yang sudah mula berjalan, masih hidup dan beliau pasti dapat kembali mendengar rengekan dan ketawa manja anak bongsunya itu.
Namun, tidak sampai empat jam selepas selesai mengadakan sidang media, impian dan harapan Kavitha berkecai apabila diberitahu bayi tidak bernyawa yang ditemui berhampiran jalan susur masuk Tol Bandar Baharu, Kedah, Sabtu lalu, sebenarnya adalah Seshagiry.
Lebih menghibakan kerana bayi berkenaan yang lengkap berpakaian dan stokin kaki itu, ditemui disumbat di dalam bag kanvas dalam keadaan lebam di kepala manakala hidung pula berair.
Kavitha mengesahkan mayat itu adalah Seshagiry selepas diminta membuat pengecaman berdasarkan foto yang diambil polis di Balai Polis Simpang, Taiping, kira-kira jam 5 petang semalam.
Tangisannya terus meledak sebaik melihat wajah mayat bayi dalam foto dilampirkan adalah seiras Seshagiry yang kini masih berada di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar, Kedah.
Kavitha yang dihubungi semalam berkata, dia tidak percaya anaknya akan mati dengan cara begini dan tidak menyangka perkara berkenaan boleh menimpanya.
“Ketika diminta datang ke Balai Polis Simpang, saya berharap mayat berkenaan bukan anak saya. Namun, sebaik mengamati beberapa foto yang ditunjukkan oleh anggota polis, saya hampir pitam dan terus menangis.
“Saya tidak percaya, anak saya mati dengan cara begitu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi semalam mengesahkan Kavitha datang ke Balai Polis Simpang untuk membuat pengecaman mayat bayi berkenaan.
“Buat masa ini, kami masih belum membuat sebarang tangkapan mengenai kes berkenaan dan sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, pada sidang medianya, Kavitha mendakwa anak lelakinya dilarikan seorang lelaki yang juga abang kenalan rapatnya.
Katanya, sebelum itu, dia menyerahkan Seshagiry kepada seorang wanita kenalan rapatnya yang berada di Taiping untuk jagaan sementara pada Jumaat lalu.
“Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, wanita itu memaklumkan akan pergi ke Kuala Lumpur sebelum menyerahkan Seshagiry kepada abangnya untuk diserahkan kepada saya semula,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu bersikap berdolak dalih ketika diminta menyerahkan anaknya sehinggalah dia tidak dapat dikesan. -bharian
No comments:
Post a Comment