Thursday, April 21, 2011

‘Kami sudah melarang’

JOHOR BAHRU: “Pada awalnya, kami menyangka Zaidi bergurau dan bersembunyi di dalam air, tetapi mula bimbang selepas dia tidak timbul,” kata Mohd Khairul Ashraf Hasni, 11, rakan kepada Mohd Zaidi Sariffudin, 12, ditemui lemas dalam kolam takungan air berhampiran Bakar Batu di sini, jam 9.22 malam, kelmarin.

Difahamkan, anak pemandu lori berkenaan yang bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Bakar Batu di sini itu bermain di kolam berkenaan bersama dua rakannya, Khairul dan Mohd Ihsan Zulkifli, 13, pada jam 4 petang kelmarin.


Operasi mencari mayat mangsa itu dijalankan anggota unit selam skuba Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Khairul berkata, kejadian berlaku dalam tempoh kurang sejam ketika dia dan rakannya bermain sambil mandi di kolam berkenaan. Menurutnya, mereka tidak menyangka keseronokan bermain di kolam yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka mengundang padah.


“Ketika itu, saya dan Zaidi bermain sementara Ihsan naik ke atas dan menunggu kami. Sebaik Zaidi hilang di dalam kolam berkenaan, kami terus berlari ke arah jalan raya meminta bantuan malangnya tiada sesiapa di situ.


“Kami tidak sangka kegembiraan mandi di kolam takungan berakhir tragedi,” katanya ketika ditemui dan masih trauma dengan kejadian berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Amira, 19, berkata, keluarganya terkejut menerima panggilan daripada pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, keluarganya pernah melarang anak ketiga daripada enam beradik itu bermain di kolam takungan air berkenaan sebelum ini.

“Pada hari kejadian, adik sulung lelaki turut menasihat dan melarangnya keluar rumah yang terletak di Blok S, Flat Taman Sri Stulang, tetapi adik (Zaidi) berdegil.


“Zaidi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan apatah lagi dia sememangnya seorang yang periang dan suka bersiar-siar bersama rakan-rakan.


“Dia seperti biasa, tiada sebarang kelakuan ganjil yang dibuatnya,” katanya.


Amira berkata, bapanya, Sariffudin Othman, 42 dan ibu, Maznah Md Said, 40, masih bersedih dan terkejut.


“Selepas ini kami semua pasti akan merindui sikapnya yang periang dan gemar menyakat ahli keluarga,” katanya.


Jenazah Mohd Zaidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dagang, Kebun Teh di sini, pagi semalam.

myMetro | ‘Kami sudah melarang’

No comments:

Post a Comment