Friday, April 29, 2011

Pelajar di Mesir dalam ketakutan


IPOH: Walaupun krisis politik mendesak peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak sudah berakhir namun ribuan mahasiswa Malaysia yang pulang menyambung pengajian di negara itu, kini dihantui ketakutan baru apabila kerap menjadi sasaran jenayah rompakan dan samun.
Difahamkan, situasi menakutkan itu berlaku akibat tindakan anggota polis negara berkenaan yang mengurangkan kawalan di jalan raya selain rakyat negara itu yang terdesak meneruskan hidup selepas tamat huru-hara pada 12 Februari lalu. Keadaan itu menyebabkan 11,319 pelajar Malaysia yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bidang perubatan kini dalam kebimbangan dan lebih berhati-hati berikutan beberapa siri jenayah membabitkan mangsa pelajar Malaysia.

Awal bulan ini, seorang pelajar lelaki Malaysia menjadi mangsa rompakan apabila diserang seorang lelaki Arab yang bertindak menggigit dan cuba menikam mangsa yang berseorangan di dalam bilik di asrama pelajar Malaysia.

Kejadian dikatakan berlaku jam 6 pagi, apabila mangsa yang dikenali sebagai Asada, 20-an selesai bersembahyang subuh kembali berehat di dalam biliknya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk menggunakan kunci pendua.

Difahamkan, mangsa yang tersedar menjerit meminta tolong sebelum diacukan pisau oleh penjenayah.

Menurut sumber, suspek mengugut mangsa supaya tidak menjerit sekiranya tidak mahu dibunuh sebelum merampas telefon bimbit, wang tunai dan jam tangan milik mangsa yang diletakkan di atas meja komputer.


“Pada masa sama, mangsa diarah duduk dan meletakkan tangan di atas kepala sebelum suspek menyelongkar bahagian bawah katil mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek cuba menyumbatkan longgokan wang syiling yang disimpan mangsa ke dalam poket jaketnya sebelum meletakkan kedua-dua pisau di atas meja komputer.
Kesempatan itu diambil pelajar Malaysia berkenaan untuk merampas pisau terbabit sebelum dia bergelut dengan penjenayah yang menggigit dan menumbuk rusuk mangsa bertubi-tubi.

Mangsa turut cedera pada bibir dan pipi akibat dicakar suspek sebelum melarikan diri keluar untuk meminta tolong dari rakannya. Sementara itu, seorang lagi pelajar Universiti Al-Azhar yang juga ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Mohd, 23, berkata, dalam kes berasingan, seorang pelajar dari Selangor, Mohamed Salman Mohd Azam, 16, turut disamun beberapa warga Arab Mesir.

“Kejadian berlaku pada pertengahan bulan lalu ketika mangsa baru pulang dari kelas pengajian secara bersendirian berhampiran Suq Sayyarat.

“Dia dihampiri sebuah kereta dinaiki dua lelaki Arab yang menyamar sebagai perisik polis (mabahis) sebelum mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba dilarikan bagaimanapun terselamat apabila kereta suspek dibaling dengan batu oleh beberapa pelajar Indonesia.

No comments:

Post a Comment