Saturday, April 23, 2011

‘Sisa makanan santapan kami’


PUTATAN: Lebihan sisa makanan yang layak dibuang menjadi santapan harian seorang ibu tunggal bersama lima anaknya sejak lebih setahun lalu selain terpaksa menagih ihsan masyarakat setempat untuk meneruskan kehidupan.
Bagi Normala Mohd Juhur, 30, sejak kematian suaminya, Musli Latip, 35, setahun lalu akibat mati lemas ketika memancing, kehidupan mereka sekeluarga terumbang ambing kerana hilang tempat bergantung.

“Disebabkan kesempitan hidup, saya mengambil keputusan bekerja sebagai tukang cuci di restoran dengan pendapatan RM450 sebulan.

“Bagi menyara lima anak, saya mengambil sisa makanan sebelum dibungkus ke dalam plastik dan dibawa pulang ke rumah untuk dinikmati semua anak saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Serigai, Putatan, di sini.

Normala berkata, dia terpaksa bekerja sehingga lewat malam termasuk menghabiskan waktu cuti dengan mengambil upah mengemas rumah jiran.

“Saya terpaksa bekerja keras bagi memastikan empat anak saya dapat bersekolah dan meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain.


“Oleh kerana ketiadaan wang, saya mengambil keputusan menyewa di rumah ini dengan kadar RM50 sebulan,” katanya.

Katanya, lima anaknya iaitu Norhady, 16, Rosdie, 13, Ahmad Nizam, 10, Norfarahanim, 7, dan Muhammad Rahman, 3, memahami keperitan ditanggung mereka sekeluarga.
“Keadaan kami sekeluarga mula berubah selepas arwah suami ditemui mati lemas ketika memancing ikan di Pantai Kinarut.

“Sebelum kematian suami, kami lima beranak menetap di rumah sewa berhampiran tempat suami bekerja di Lok Kawi,” katanya.

Katanya, selepas kematian suami, dia berpindah ke rumah ibu, tetapi tidak bertahan lama kerana ibu juga golongan susah.

“Saya mula mencari pekerjaan dan berjaya menjadi tukang cuci di sebuah restoran dengan gaji RM450 sebulan, saya mengambil keputusan untuk menyewa di sini.

“Walaupun keadaan rumah ini sempit dan usang, namun sudah cukup untuk saya bersama anak berteduh daripada hujan dan panas,” katanya.

Menurutnya, dengan gaji yang tidak seberapa, dia pernah memohon bantuan kebajian bagi menampung perbelanjaan sekolah, namun masih tidak mencukupi.

“Yuran persekolahan semua anak saya sekitar RM500 dan tidak termasuk peralatan sekolah dan perbelajaan makan dan minum mereka.

“Malah, dua anak saya masih gagal menjelaskan yuran persekolahan mereka,” katanya. “Dengan duit gaji yang tidak seberapa, saya terpaksa gunakan untuk menampung kos sekolah anak dan ia masih tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, selain membawa lebihan makanan, dia turut mengambil minyak masak di restoran yang hendak dibuang untuk digunakan di rumah.

Katanya, desakan hidup menyebabkan dia terpaksa menyerahkan dua anak untuk dipelihara abang ipar di Keningau.

“Saya sudah beberapa kali mengisi borang permohonan mendapatkan rumah, namun belum ada sebarang jawapan diterima daripada pihak berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment