KAMPUNG GAJAH 15 Mei - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Begitulah penderitaan ditanggung Halijah Awi, 30, yang menderita penyakit ketumbuhan misteri di seluruh badannya sejak berumur lima tahun.
Ketumbuhan misteri yang semakin merebak itu juga menyebabkan wanita dari Kampung Pulau Tiga Kiri di sini, kini hanya mampu melihat dengan sebelah mata kerana mata kirinya membengkak, seolah-olah matanya jatuh ke bawah.
Akibat penyakit misteri itu juga, Halijah terpaksa berhenti sekolah ketika darjah enam kerana tidak tahan ejekan kawan-kawan sekolah.
"Sejak saya dilahirkan, penyakit ini sudah berada di dalam badan saya dan ketika umur lima tahun, saya menyedari penyakit ini telah merebak ke seluruh anggota badan dan rasa gatal-gatal itu lama-kelamaan naik ke muka dan merebak ke bahagian mata.
"Biji-biji ini amat menyiksakan saya kerana ia amat panas dan kadang-kadang terasa amat gatal sehingga saya terpaksa berendam di dalam air selama lima jam untuk meredakannya," kata Halijah ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Halijah, dia kini cuma berkurung di dalam rumah kerana merasa sangat segan dengan jiran-jirannya disebabkan ketumbuhan tersebut.
"Saya juga ingin mempunyai ramai kawan dan mendirikan rumah tangga seperti orang lain tetapi apakan daya, orang tidak mahu berkawan dengan saya kerana takut melihat rupa saya yang hodoh ini," katanya diiringi air mata.
Sementara itu, ibunya, Aminah Baharum, 54, berkata, banyak usaha telah dibuat untuk mengubati penyakit misteri anaknya itu termasuk berjumpa dengan bomoh tetapi tidak juga sembuh.
"Halijah pernah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dua tahun lalu tetapi penyakitnya bukan sahaja tidak sembuh, malah semakin merebak ke seluruh badan sehingga tangannya juga membengkak.
"Lebih membimbangkan saya apabila dua lagi anak saya seakan-akan mendapat penyakit sama apabila mereka turut mengalami gatal-gatal pada badan," ujarnya.
Menurut Aminah, dia sudah kehabisan ikhtiar apatah lagi dengan kekangan kewangan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan selepas kematian suaminya dua tahun lepas.
"Bantuan dari JKM itu untuk menampung perbelanjaan kami pun tidak cukup. Kadang-kadang kami terpaksa berjimat cermat dengan makan nasi berlaukkan sambal kelapa sahaja untuk meneruskan hidup," katanya.
No comments:
Post a Comment