Monday, May 16, 2011

Nak masuk Gaza diarah patah balik



SEKATAN jalan raya yang sebelum ini dilakukan anggota polis kini diambil alih tentera bermula semalam, memperketatkan kawalan di sempadan Rafah berikutan sambutan 'Nakba'   menyebabkan kumpulan wartawan Media Prima gagal memasuki Palestin walaupun mempunyai surat kebenaran daripada kerajaan Mesir.
SEKATAN jalan raya yang sebelum ini dilakukan anggota polis kini diambil alih tentera bermula semalam, memperketatkan kawalan di sempadan Rafah berikutan sambutan 'Nakba' menyebabkan kumpulan wartawan Media Prima gagal memasuki Palestin walaupun mempunyai surat kebenaran daripada kerajaan Mesir.

Tentera Mesir soal petugas Media Prima gara-gara segulung rokok daun

KUMPULAN wartawan Media Prima yang cuba memasuki Gaza sehari sebelum rakyat Palestin mengingati ulang tahun ke-63 Nakba semalam diarah berpatah balik oleh tentera yang mengadakan sekatan jalan selepas Terusan Suez di sebelah Gurun Sinai, kurang 100 kilometer dari pelabuhan Al Arish.
Sebelum itu, kami ditahan dan beg digeledah pihak berkuasa di sekatan jalan pertama di Ismaliya sebelum melalui jambatan merentasi Terusan Suez, gara-gara segulung rokok daun dan tembakau yang dibawa salah seorang anggota kumpulan itu.
Dalam kejadian jam 4 petang waktu tempatan itu, pihak berkuasa menahan dan menyoal penulis, jurugambar NSTP, Rosdan Wahid, wartawan TV3, Mohd Harris Hazri Abdul Halim dan jurukamera, Ahmad Azizi Adnan, mengenai tembakau itu selama 20 minit yang disangka ganja dan dilarang di negara Arab.

Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Al Arish sebelum ditahan di dua sekatan di sebelah Gurun Sinai sebelum diarah pulang ke Kaherah atas faktor keselamatan kerana rancangan penunjuk perasaan untuk mengadakan protes besar-besaran di sepanjang sempadan Rafah, semalam.

Jumaat lalu, Berita Harian yang berkesempatan membuat liputan di Medan Tahrir menyaksikan ribuan rakyat Mesir berkumpul di medan yang menjadi titik tolak kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada saudara mereka di Palestin sempena mengingati ulang tahun ke-63 Nakba yang disambut setiap 15 Mei.

Hari Nakba atau hari ‘bencana’ merujuk kepada pengusiran paksa lebih 760,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka bagi membolehkan penubuhan negara Yahudi pada 1948 dengan dianggarkan seramai 4.7 juta pelarian Palestin berasal dari keturunan mereka yang diusir.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 20 bas yang membawa penunjuk perasaan Mesir yang berhasrat mengadakan protes di sempadan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza diarah berpatah balik ke Kaherah oleh pihak tentera yang kini membuat sekatan menuju ke sempadan wilayah konflik itu.

Beberapa kereta perisai dan trak tentera dengan anggota tentera kelihatan di beberapa sekatan jalan utama, termasuk sekatan jalan sebelum melalui Suez.

Dalam perjalanan pulang, kami menyaksikan berduyun-duyun kenderaan yang menuju arah Al Arish ditahan dan diperiksa ketat oleh tentera termasuk beberapa bas yang membawa kumpulan aktivis yang bercadang mengadakan protes di sempadan Rafah.

Kerajaan baru selepas rejim Mubarak dilaporkan pro perjuangan Palestin dan menjadi orang tengah kepada perjanjian perdamaian antara Hamas dan Fatah yang dipersetujui minggu lalu, bagi membolehkan penubuhan kerajaan perpaduan dan memberi laluan kepada pilihan raya parlimen diadakan di Palestin.

Agensi berita AFP melaporkan ribuan polis Israel dikerahkan ke Jerusalem dan beberapa kawasan lain untuk mengawal keadaan dan meningkatkan tahap keselamatan selepas seorang remaja terbunuh dalam pertempuran menjelang hari mengingati Nakba. 

No comments:

Post a Comment