Monday, May 16, 2011

Dibelasah polis


Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID


KESAN cedera di badan Muhammad Farhan yang didakwa dipukul bertubi-tubi dengan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh-Alor Gajah, Melaka, semalam.


MELAKA 15 Mei – Bukan sahaja dituduh terlibat dalam lumba haram yang didakwa tidak dilakukannya, seorang remaja berusia 22 tahun mendakwa dia dibelasah bertubi-tubi menggunakan cota oleh seorang anggota polis di Jalan Pegoh, di sini semalam.
Remaja terbabit, Muhammad Farhan Abdul Malek mendakwa, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, dia sedang menunggang motosikal seorang diri menuju ke rumah seorang saudaranya di Pegoh.
Menurutnya, ketika melalui Jalan Pegoh, dia terkejut apabila tiba-tiba melihat satu kon polis melayang entah dari mana sehingga mengenai seorang penunggang motosikal lain di hadapannya.
“Saya cuba mengelak motosikal terbabit, tetapi tidak sempat menyebabkan saya melanggarnya sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini hari ini.
Dia yang berasal dari Taman Kebaya, Alor Gajah di sini menambah, ketika menahan kesakitan, seorang anggota polis tiba-tiba datang ke arahnya dan mengheretnya ke tepi jalan sambil menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.
Menurut Muhammad Farhan, polis berkenaan turut mendakwa sedang membuat sekatan jalan raya dan menuduhnya merempit serta hendak melanggar sekatan jalan raya walaupun tiada sekatan polis atau penghadang dibuat sebelum kejadian.
“Tanpa usul periksa, polis itu terus memukul belakang badan saya beberapa kali menggunakan cota tanpa menghiraukan kesakitan yang saya alami akibat kemalangan.
“Setelah melemparkan kata-kata kesat kepada saya selama kira-kira 30 minit, polis berkenaan dan rakannya menghantar saya ke Hospital Alor Gajah menaiki kereta peronda polis dan meninggalkan saya di sana,” dakwanya lagi.
Tambahnya, selepas mendaftar sebagai pesakit, dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang automotif di sini terus menghubungi sepupu dan bapanya memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Malek Enden, 57, berkata, akibat kejadian itu anaknya kini mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah tangan dan patah tulang rusuk belakang badan dipercayai akibat dipukul dengan cota.
Katanya, dia kesal dengan sikap anggota polis itu yang bertindak tanpa usul periksa terhadap anaknya.
Berikutan kejadian itu, Abdul Malek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pegoh

No comments:

Post a Comment