Monday, May 16, 2011

Kes polis tembak remaja berulang lagi?


Keluarga lelaki ditembak tidak puas hati


PETALING JAYA: Keluarga Mohamad Johari Abu Bakar, lelaki yang ditembak mati di Cyber Valley, Dengkil, kelmarin, membuat laporan polis menuntut badan bebas ditubuhkan kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Laporan dibuat ibu mangsa, Salmah Mohamed Shariff, 41, di Balai Polis Damansara, di sini, kira-kira jam 4 petang, mendakwa wujud beberapa kenyataan bercanggah diterima daripada PDRM.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang bertindak sebagai jurucakap keluarga itu berkata, keluarga mangsa mendesak polis mengeluarkan kenyataan telus mengenai keadaan sebenar kejadian.

“Keluarga mangsa ragu dengan kenyataan dikeluarkan polis seperti dilaporkan kebanyakan akhbar kerana terdapat beberapa fakta bercanggah.

“Usia sebenar Mohamad Johari adalah 17 tahun manakala kenyataan dikeluarkan polis menyatakan mangsa berusia 20-an. “Ini bermakna mangsa masih remaja dan polis tidak sepatutnya melepaskan tembakan terhadapnya,” katanya.


Sivarasa berkata, keluarga mangsa juga mendakwa tangan kanan Mohamad Johari patah sedangkan sebelum ini tangannya tidak patah.

“Sehingga kini, keluarga mangsa masih menunggu laporan lengkap bedah siasat dijalankan terhadap Mohamad Johari dan setakat ini, keluarga itu belum dihubungi pihak hospital mengenai bedah siasat dijalankan. “Kami akan memohon mahkamah mengeluarkan arahan membolehkan bedah siasat kali kedua dilakukan untuk mengetahui punca sebenar tangan kanan mangsa patah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi berkata, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk keluarga mempersoalkan kredibiliti polis kerana siasatan masih dijalankan.

“Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan menyebabkan masyarakat keliru mengenai kedudukan sebenar kes berkenaan,” katanya.
myMetro

No comments:

Post a Comment