KUALA LUMPUR 18 Mei - Pesalah trafik tidak wajar menyalahkan pihak polis sekiranya disaman akibat memandu melebihi had laju selepas ini kerana mereka terlebih dahulu diberi peringatan sebelum dikenakan tindakan.
Peringatan berbentuk papan tanda 'Awas, Perangkap Had Laju' itu diletakkan beberapa kilometer sebelum lokasi polis merakamkan kelajuan kenderaan.
Anggota polis trafik akan berada di lokasi rakaman itu dan akan merakamkan gambar pesalah trafik secara bertentangan dengan arah pemandu.
Operasi perangkap had laju secara terbuka itu berkuat kuasa pada 1 Mei lalu selepas diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar pada April lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, tindakan memberi peringatan itu merupakan usaha polis untuk mendidik pemandu daripada terus mengambil tindakan menyaman mereka yang melanggar peraturan.
"Bagi membentuk pemandu berhemah, adalah lebih baik kita mencegah mereka melakukan kesalahan dengan memberi peringatan sebelum kita merakamkan kenderaan yang memandu melebihi had laju.
"Sebab itu, papan tanda diletakkan beberapa kilometer sebelum lokasi kita mengadakan perangkap had laju. Bagi pemandu yang tidak melakukan kesalahan, mereka tidak perlu takut dengan kehadiran polis," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi perangkap had laju di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.
Dalam operasi kira-kira sejam hari ini, pengguna kenderaan yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan tidak disaman serta-merta, sebaliknya mereka akan diberi notis berserta gambar kenderaan yang dipandu.
Salleh memberitahu, dalam operasi perangkap had laju secara terbuka selepas ini, pemandu yang melakukan kesalahan akan disaman serta-merta atau dihantar notis pemberitahuan ke alamat masing-masing.
Jelasnya, dalam notis tersebut akan disertakan gambar kenderaan selain kelajuan yang direkodkan ketika gambar itu dirakam.
No comments:
Post a Comment