Saturday, June 25, 2011

Anwar bohong dakwa saya jumpa Rahim: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menganggap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuduhnya ada berjumpa bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berhubung isu video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin pembangkang itu sebagai satu pembohongan.

“Tan Sri Rahim tak berjumpa saya... itu satu pembohongan. Dia (Anwar) boleh dakwa, tapi dia (Rahim) tidak jumpa saya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), di sini malam tadi.
Perdana Menteri mengulas dakwaan Anwar seperti dilaporkan laman portal berita kelmarin, kononnya Abdul Rahim ada mengadakan pertemuan dengan Najib berhubung isu video seks berkenaan.
Mengenai hasil analisis Prof Hany Farid dan Prof Lorenzo Torresani dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat yang mendapati 99 peratus gambar dalam video terbabit adalah tulen, Najib berkata, terserah kepada rakyat membuat penilaian.

“Ia sesuatu (perkara) yang rakyat sendiri kena buat penilaian. Kalau kita kata apa pun, paling penting adalah untuk cari kesahihan dan kebenaran. Itu kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan apa yang dikatakan berdasarkan penilaian dua pakar dari Amerika Syarikat yang membuat kesimpulan sedemikian,” katanya.

Mengulas cadangan pembentukan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu video seks berkenaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

“Polis sudah hantar pita (video) kepada pihak yang pakar dalam hal ini dan laporan telah diterangkan dalam mahkamah hari ini (semalam),” katanya merujuk kes membabitkan Abdul Rahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuaib Lazim yang didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan menayangkan secara terbuka video seks berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, laporan bedah siasat Pilihan Raya Negeri Sarawak turut dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam tadi, tetapi menganggapnya tidak perlu diulas kerana ia perkara dalaman.

“Banyak perkara dibincangkan tetapi saya tidak perlu ulas kerana ia perkara dalaman, rahsia yang perlu kita kaji dan ambil iktibar daripadanya. Kita turut membincangkan keahlian terus anggota BN membabitkan kira-kira 10,000 pemohon tetapi mungkin selepas ditapis kelak oleh semua komponen BN, tinggal kira-kira 3,000 saja,” katanya.

Mengenai cadangan kumpulan pengacau yang berkeras mahu mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini, Perdana Menteri berkata, semua rakyat di negara ini mempunyai hak untuk bersuara.

“Masing-masing ada hak dalam negara ini dan kita ada undang-undang. Kalau BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) ingin buat (perhimpunan), Pemuda UMNO pun nak buat juga,” katanya.
Berita Harian Online | Anwar bohong dakwa saya jumpa Rahim: Najib

No comments:

Post a Comment