Pengusaha berdepan syarat ketat PBT, bayar yuran perunding RM10,000
KUALA LUMPUR: Kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) mendaftarkan perniagaan masing-masing hingga beroperasi tanpa lesen.Wakil Persatuan TASKA Selangor, Azlina Johari, berkata ini kerana pengusaha TASKA terpaksa berhadapan dengan beberapa syarat ketat ditetapkan PBT khususnya di Shah Alam selain perlu membayar yuran sehingga mencecah RM10,000 kepada perunding dilantik mereka (PBT).
Katanya, perunding itu bertanggungjawab melukis pelan bangunan bakal beroperasi sebagai TASKA kadang-kala prosesnya mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Pelan bangunan ini adalah antara syarat perlu dipatuhi semua pengusaha TASKA sebagai proses penukaran status kediaman kepada premis perniagaan..., kita melihat yuran yang dikenakan PBT itu amat mahal sehingga membebankan pengusaha.
“Kita juga tidak boleh melantik perunding sendiri sebaliknya terpaksa berurusan dengan mereka (perunding) ditetapkan oleh PBT saja..., selain kekerapan pertukaran kakitangan PBT juga menyukarkan kelicinan proses permohonan lesen TASKA,” katanya semalam.
Terdahulu, Azlina menghadiri sesi dialog disertai lebih 200 pengusaha TASKA Wilayah Persekutuan dan Selangor bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zain.
Sementara itu, Shahrizat turut mengakui kerenah birokrasi PBT menjadi punca sebilangan besar pengusaha TASKA gagal mendapat lesen daripada JKM untuk menjalankan operasi mereka.
“Maklum balas saya terima daripada sesi dialog hari ini (semalam), kebanyakan pengusaha memberitahu mereka hanya berhadapan masalah dengan PBT, manakala urusan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat amat mudah,” katanya.
No comments:
Post a Comment