Sunday, June 12, 2011

Perairan negara terus diperketat


TAWAU 11 Jun - Kementerian Pertahanan kini memperketatkan kawalan dan pemantauan Ops Pasir di seluruh sempadan negara berikutan situasi tegang yang berlaku antara beberapa buah negara di rantau ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, langkah itu diambil khususnya di Laut China Selatan yang terlibat dengan tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara.

"Laut China Selatan sudah mula 'panas' apabila Vietnam dan Filipina mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu mencabar China berhubung penguasaan di perairan berkenaan,'' katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Bersama 2 di Kem Kukusan dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Staf Markas ATB, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar; Panglima 5 Briged, Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal dan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan.

Ahmad Zahid berkata, usaha peningkatan kawalan juga dilakukan ekoran berlakunya insiden penculikan di Pulau Jolo, selatan Filipina yang melibatkan ahli perniagaan tempatan, Nazaruddin Saidin, 38.

Dalam pada itu, Zahid menyeru agar pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan bekerjasama bagi membanteras isu pemerdagangan manusia.

Jelasnya, meskipun sesuatu pihak itu mungkin tidak mempunyai bidang kuasa di dalam isu yang dibangkitkan, mereka perlu bersiap siaga sekiranya agensi lain memerlukan bantuan mereka.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment