Sunday, July 10, 2011

Perhimpunan haram gagal disekat




POLIS melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan mencanang propaganda untuk menarik penyertaan 300,000 orang, perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang berlangsung di ibu negara semalam menemui kegagalan apabila sekadar menarik 6,000 orang menyertainya.
Lebih mengecewakan, perhimpunan haram itu menyaksikan para pemimpin kanan pembangkang yang selama ini berselindung di sebalik nama Bersih turut gagal menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara sebagaimana dijanjikan.
Kegagalan Bersih yang dianggotai oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu jelas berpunca daripada tindakan proaktif polis mengadakan kawalan keselamatan sejak kelmarin.
Tindakan tegas polis bermula dengan sekatan jalan raya di kesemua laluan masuk ke Kuala Lumpur serta penutupan 58 batang jalan dan kawasan tumpuan di pusat bandar sejak pukul 12.01 tengah malam semalam.
Kecekapan anggota polis membuat sekatan tersebut lebih awal telah berjaya menjejaskan komplot Bersih menyeludup masuk lebih ramai penyokong sekali gus mencetuskan huru-hara.
Lebih 1,000 anggota polis lengkap dengan trak meriam air serta helikopter dikerah mengawal kawasan-kawasan tumpuan para pengacau berhimpun sejak pagi.
Mereka mula membentuk kumpulan-kumpulan kecil dengan berhimpun dan berarak seawal pukul 8 pagi dari beberapa lokasi.
Antara lokasi tersebut ialah Masjid Negara, Masjid India, Pasar Seni, Jalan Raja Chulan, Kampung Baru dan Jalan Pudu-Bukit Bintang, Hentian Puduraya dan Menara Maybank sebelum berarak dalam hujan ke Stadium Merdeka.
Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment