Sally yang menghidap penyakit autisme dihantar oleh bapanya, Ibrahim Hussin, 57, ke Taman Sinar Harapan setahun selepas ibunya Siti Fatimah Ahmad, 58, meninggal dunia akibat penyakit lemah jantung.
Menurutnya, sejak itu, dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang mesra dipanggilnya `abah’ memandangkan bapanya tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.
“Saya sangat gembira dapat jumpa abah, dua tahun saya beraya di sini (Taman Sinar Harapan) dan keinginan saya untuk berjumpa abah amat kuat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sally dan Ibrahim dipertemukan pada satu majlis khas anjuran Hotel Permai di sini dengan dihadiri pengerusi hotel itu, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar dan Pengurus Besarnya, Azman Ali.
Sementara itu, Wan Abu Bakar berkata, pihaknya berasa tersentuh dengan kisah Sally terutamanya ketika remaja perempuan itu berseorangan tanpa ditemani ahli keluarganya ketika menyambut hari raya sejak tahun lalu.
Malah katanya, ketika Sally menyertai satu acara mewarna anjuran pihaknya pada Februari lalu, dia ada melahirkan hasrat ingin berjumpa dengan bapanya.
“Sejak itu, pihak hotel cuba menjejaki Ibrahim, namun, usaha itu bukan mudah kerana dia telah berpindah dari alamat asalnya di Jempol, Negeri Sembilan selepas berkahwin lain dua tahun lalu.
“Namun, akhirnya kami berjaya menjejaki Ibrahim yang kini menetap di Muar, Johor bersama keluarga barunya,” katanya.
Menurutnya, pihak hotel juga menanggung segala perbelanjaan selain memberikan sedikit wang saku kepada Ibrahim untuk bertemu Sally sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Kami akan cuba membantu Sally dan bapanya untuk berjumpa pada masa akan datang serta penghuni Taman Sinar Harapan lain yang memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada pihak hotel kerana bersusah-payah mengatur pertemuan mereka dua beranak.
“Saya memang rindukan Sally tapi apakan daya, saya tidak mampu datang ke sini kerana jauh dan saya tiada kenderaan sendiri.
“Lagipun gaji saya hanya RM800 dan cukup-cukup untuk bayar sewa serta perbelanjaan keluarga di sana,” katanya.
Menurutnya, setiap kali Syawal menjelma, dia pasti akan teringatkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dan pernah beberapa kali dia menelefon anak gadisnya itu untuk bertanya khabar.
“Kalau boleh tiap-tiap tahun saya nak datang sini jumpa Sally tapi saya tak mampu,” katanya.
No comments:
Post a Comment