KUALA LUMPUR 12 Sept. - FilemBukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dibuat berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950 itu, bukannya mengikut perspektif UMNO seperti dituduh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau membuat penyelidikan rapi dengan menemu bual bekas anggota komunis yang terbabit dalam serangan itu, waris mangsa serta ahli keluarga terdekat Muhammad Indera, lelaki tempatan yang bersekongkol dengan pengganas komunis.
Justeru itu, beliau menolak kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang menganggap 200 anggota Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka dalam tragedi itu, ialah hero sebenar.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya Muhammad Indera mengetuai operasi itu bagi 'mengajar' anggota keselamatan yang mabuk.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mat Sabu bahawa filem ini dihasilkan berdasarkan perspektif UMNO hanya kerana saya ahli UMNO. Filem ini digarap berdasarkan fakta sejarah yang sebenar dan saya sendiri menetap di Pagoh, Johor selama setahun.
"Saya sendiri membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan tersebut, faktanya langsung tidak bercanggah dengan apa yang diberikan oleh pihak polis. Malah, ahli keluarga Muhammad Indera sendiri datang berjumpa dengan saya bagi berbincang mengenai filem ini.
"Muhammad Indera terlibat secara langsung dalam serangan ini. Benar dia tidak membunuh dan ada menyuruh beberapa mangsa supaya melarikan diri tetapi hasil arahan dia yang menyebabkan 25 nyawa menjadi korban," katanya kepada pemberita di Studio Panca Delima di sini hari ini.
Beliau mengadakan sidang akhbar khas itu bagi mengulas kenyataan biadab Mat Sabu yang memperlekehkan pergorbanan anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mengagungkan pula pengganas komunis sebagai hero sebenar.
Mat Sabu semasa berceramah di Padang Menora, Tasik Gelugur dilaporkan berkata: "Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan sebenar, yang serang itu Mat Indera.
"Jins Shamsuddin buat filem, Jins Shamsuddin ini orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula jahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung."
Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Jins berkata, berdasarkan keterangan daripada bekas anggota komunis, mereka mengesahkan bahawa operasi itu diketuai Mat Indera dan bekas guru agama tersebut yang bertanggungjawab mengarahkan serangan melalui tiupan trompet.
Tambahnya, operasi berkenaan juga dirancang dengan begitu rapi dan pengganas komunis sudah mula mengambil posisi dari atas Bukit Kepong sejak petang sebelum serangan bermula lagi.
No comments:
Post a Comment