Friday, September 23, 2011

JPJ lelong 25 kenderaan





2011/09/23

KOTA BHARU: Sebanyak 25 kenderaan pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999, dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada orang awam dan memperoleh hasil lelongan berjumlah RM32,900. 

Pengarah JPJ negeri, Abd Ghani Che Kassim, berkata dalam lelongan kali kedua bagi tahun ini, 54 pembida kalangan pelesen barangan lusuh dan orang awam mendaftar untuk membida pelbagai kenderaan termasuk sebuah pikup hilux yang mendapat harga bidaan tertinggi RM15,000, manakala nilai terendah RM50 bagi sebuah motosikal.
Katanya, daripada keseluruhan kenderaan dilelong itu, 12 kenderaan boleh didaftarkan semula, manakala 13 lagi akan dilupuskan dan tidak boleh didaftarkan dengan JPJ.
"Pada lelongan awam itu, JPJ melelong 10 motosikal, tujuh kereta, dua lori dan masing-masing satu pikup serta satu kenderaan pacuan empat roda, selain empat motosikal bernombor pendaftaran Thailand. 

"JPJ turut memperoleh hasil jualan dokumen tender berjumlah RM2,700 dengan setiap satu naskhah dijual RM50 kepada orang awam untuk diisi pembida sebelum dikembalikan kepada jawatankuasa lelongan awam kenderaan disita JPJ sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Abd Ghani berkata, antara kesalahan dikesan JPJ daripada 25 kenderaan yang disita itu ialah pemiliknya cuba mengganggu nombor casis, tamat tempoh cukai jalan, menggunakan cukai jalan palsu, kenderaan dipotong dan sambung serta kenderaan tiada lesen. 

"Kita menghadapi masalah tempat menyimpan kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999 hingga tahun ini. Kawasan pekarangan JPJ termasuk di enam stesen penguat kuasa JPJ di seluruh negeri kini dipenuhi 351 pelbagai kenderaan yang sedang menunggu untuk proses lelongan awam," katanya. 

No comments:

Post a Comment