SHAH ALAM – Selepas seminggu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan, kediaman keluarga Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Jalan Belat 19/32C di Seksyen 19 di sini pula menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, bahagian pagar rumah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah disimbah minyak tanah sebelum dibakar.
Ketika kejadian, anak kedua Mat Sabu, Nurul Huda, 28, berada di rumah itu manakala ahli politik itu dan isterinya berada di utara tanah air.
Mat Sabu mengikuti satu program politik di Pulau Pinang manakala isterinya, Normah Alwi, 57, pula menetap di Perlis untuk menjaga ibu bapanya yang dimasukkan ke hospital.
Seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam, 23, yang turut menetap di rumah sama belum pulang kerana bertemu rakan di luar.
Nurul Huda yang merupakan seorang peguam berkata, dia terdengar bunyi enjin kereta di luar rumah pada pukul 12 tengah malam sebelum dikejutkan dengan bunyi pintu pagar dibuka.
“Pada mulanya saya tidak hirau kerana menyangka adik (Ahmad Saiful) pulang.
“Selepas itu, saya dengar jiran menjerit memaklumkan ada api depan pagar rumah,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Nurul Huda, dia kemudian bergegas keluar dan mendapati api sudah terpadam, tetapi pagar masih panas.
Dia yang memeriksa kawasan rumahnya kemudian menemui satu botol berwarna kuning dipercayai bekas minyak tanah.
Wanita itu mendakwa, sebelum kejadian jirannya ternampak kelibat dua lelaki berlari ke arah jalan besar.
“Sebelum ini saya memang rasa tidak sedap hati kerana tiga lampu jalan tidak menyala.
“Selepas ayah menerima SMS (ugutan), kami memang selalu berjaga-jaga,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam semalam.
No comments:
Post a Comment