Sunday, September 18, 2011

Tidak perlu layan permintaan maaf Mat Sabu berhubung tahanan ISA



KLUANG - Kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang mahukan kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dilayan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini dibelenggu pelbagai isu berikutan kenyataan kontroversinya tentang komunis.

"Dia (Mohamad Sabu) sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Dia sudah banyak isu, Polis pun marah kat dia. Saya tidak mahu layan lagi Mat Sabu," katanya ketika majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen
Sembrong di Taman Sri Lambak di sini.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA baru-baru ini bukan suatu retorik tetapi adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menggubal dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA yang digubal ketika negara sedang menghadapi ancaman pengganas komunis.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan negara berada di dalam keadaan terjamin walaupun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan ISA.

Tindakan Mat Sabu sebelum ini menimbulkan kemarahan sebahagian besar penduduk negara ini apabila melabel penganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Kejadian serangan Balai Polis Kepong yang berlaku pada 1950 itu telah mengorbankan 25 orang termasuk anggota polis, anggota keselamatan kampung dan isteri serta anak anggota polis terbabit.

Sementara itu Hishammuddin mengucapkan terima kasih kepada lebih daripada 10,000 rakyat pelbagai kaum yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong, yang mengambarkan kejayaan gagasan 1Malaysia.

Beliau juga berkata, helikopter yang membawanya daripada Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis rumah terbuka itu terpaksa membuat pendaratan cemas di Bangi, akibat keadaan cuaca yang buruk.

Berikutan kejadian itu, beliau dan isteri terpaksa menaiki kereta peronda polis daripada Bangi ke Kluang, menyebabkan beliau lewat tiba kira-kira empat jam.- Bernama

No comments:

Post a Comment