Thursday, October 13, 2011

Melayu hilang kuasa 10 tahun lagi


KUALA LUMPUR 12 Okt. - Orang Melayu di negara ini dijangka kehilangan identiti serta kuasa terutama berkaitan hal sosial, politik dan ekonomi dalam masa 10 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan kaum itu sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa.

Apabila itu terjadi, katanya, golongan minoriti tersebut terpaksa meminta bantuan pihak lain demi kuasa, tetapi 'berhutang' dengan pemberi 'bantuan' berkenaan sehingga akhirnya membuatkan Melayu Islam kerugian.

Menurutnya, senario identiti Melayu Islam di Singapura serta keadaan ekonomi golongan itu di Thailand wajar dijadikan iktibar.

"Di Singapura, muftinya tidak boleh memprotes hidangan daging haram yang dihidangkan di majlis membabitkan Melayu Islam (serta Islam lain) walaupun membuat ketetapan Islam tidak boleh memakannya.

"Hidang tidak apa dan ini (berlaku) kerana ketiadaan kuasa (di kalangan Melayu)," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Bangi, dekat sini hari ini.

Seterusnya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengingatkan supaya masyarakat Islam merebut kekayaan negara serta menguruskan kekayaan itu kerana kekuatan ekonomi boleh menyelamatkan agama.

Sebagai contoh, katanya, banyak negara Arab yang mempunyai kekayaan hasil minyak tetapi gagal menjananya semula sehingga menyimpan wang dalam bentuk rizab bon di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun menurut beliau, AS yang kini mempunyai hutang terkumpul bernilai AS$14 trilion dikhuatiri tidak mampu membayar rizab bon negara-negara Arab berkenaan.

"Miskin itu kufur dan pegangan (agama) juga boleh jadi lemah," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment