Tuesday, October 25, 2011

SPR pamer 42,051 nama pemilih dengan rekod meragukan


25/10/2011 2:25pm

KUALA LUMPUR 25 Okt. — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya selama seminggu bermula Khamis ini.

Menurut kenyataan SPR hari ini, nama pemilih berkenaan akan dipamerkan bersama daftar pemilih tambahan suku ketiga tahun ini di 987 tempat pameran seluruh negara.

"Senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan sebaliknya untuk pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan.

"Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenal pasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan pendaftaran pemilihnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh yang sama, SPR akan turut mempamerkan senarai 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 bermula Julai hingga September lepas. — Bernama

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment