Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 23 Nov: PAS menyimpulkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam semakin mengecilkan lagi sistem demokrasi di tanah air.
'via Blog this'
KUALA LUMPUR, 23 Nov: PAS menyimpulkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam semakin mengecilkan lagi sistem demokrasi di tanah air.
Beberapa peruntukan yang terdapat di dalam akta tersebut jelas menjurus ke arah itu, sehingga menjadikan akta itu jelas lebih menekan rakyat berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim, tetapi akta tersebut jelas bercanggah dengan janji tersebut.
Menurutnya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 itu, pihak kerajaan tetap juga meneruskan tahanan tanpa bicara.
Katanya, selain itu, setiap perhimpunan aman yang hendak diadakan oleh parti-parti politik atau rakyat mestilah dikemukakan kepada pihak polis tidak kurang 30 hari sebelum perhimpunan diadakan.
"Sebelum ini, jika rakyat hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah-ceramah kecil mestilah dikemukakan dalam masa 10 hari.
"Kini menerusi akta baru yang dibentangkan itu mestilah menunggu lebih lama sehingga 30 hari dan ini jelas lebih menekan rakyat dan semakin mengecilkan demokrasi," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Dengan jangka masa menunggu kelulusan pihak polis yang begitu panjang untuk mengadakan perhimpunan, menurutnya, pelbagai kerumitan dan bahaya pasti akan berlaku.
"Bayangkanlah jika Isreal menyerang Palestin hari ini, untuk kita mengadakan perhimpunan mestilah menunggu kelulusan pihak polis sehingga 30 hari, tidakkah ini amat menyusahkan?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dengan jangka masa sebegitu lama, tambahnya, rakyat Palestin yang diserang oleh Israel itu pasti gagal dibantu oleh rakyat negara ini disebabkan kezaliman akta tersebut.
Sehubungan itu, tegasnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah mengambil ketetapan mendesak pihak Kerajaan BN menarik balik akta tersebut bagi membolehkan sistem demokrasi di negara ini hidup dengan subur.
"Sekiranya akta itu diluluskan juga oleh Parlimen nanti, bermakna seluruh rakyat negara ini akan lebih tertekan kerana ia langsung tidak memberikan ruang untuk demokrasi hidup segar di negara ini," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembentangan akta tersebut jelas menunjukkan janji Datuk Seri Najib untuk memansuhkan akta-akta zalim di negara ini hanyalah tinggal janji.
Manakala Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, menerusi akta tersebut, janji Perdana Menteri untuk melakukan perubahan tidak berlaku kerana tahanan tanpa bicara tetap dikekallkan.
"Ini jelas menunjukkan keadaan yang tidak berubah berhubung perkara itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai.
Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Akta Perhimpunan teruskan tahan tanpa bicara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment