Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – PKR mendakwa syarikat ada kaitan dengan Menteri Pemba­ngu­nan Wanita, Datuk Shah­rizat Abdul Jalil menggunakan dana melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran RM9.8 juta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, NFC melakukan transaksi pindahan wang dari akaun semasanya pada 2 Disember di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Development Berhad (BRDB) untuk tujuan pembayaran sebuah kondominium.
Beliau mendakwa, tin­­dakan berkenaan merupakan satu bentuk penyelewengan memandangkan bayaran untuk pembelian unit kondominium mewah itu di Bangsar bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.
“Bayaran pembelian kondo­mi­nium dengan harga RM9.8 juta ini direkodkan sebagai ‘hutang’ National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC.
“Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM83 juta hutang NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009,” dakwanya pada sidang media, di lobi Parlimen, semalam.
Dakwanya, urusan dilakukan sebanyak empat kali pada hari sama bukan untuk membeli lembu kerana BRDB adalah pemaju perumahan dan tidak terlibat dengan urusan itu.
Ahli Parlimen Machang itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat berhubung dakwaan itu.
“Dakwaan ini wajar disiasat secepat mungkin kerana ia melibatkan integriti kese­luruhan kerajaan Malaysia,” katanya.
Katanya, Najib perlu disiasat berhubung kenyataannya mengenai jumlah dana yang telah dipindahkan daripada jumlah RM250 juta.
Muhyiddin pula, katanya, perlu disiasat selaku kedudukannya sebagai menteri pertanian yang meluluskan projek dan pinjaman untuk projek feedlot berkenaan sebelum ini, manakala penggantinya Datuk Seri Noh Omar perlu disiasat berhubung penjelasan menteri berkenaan sebelum ini.
Saifuddin berkata, Shah­rizat juga perlu disiasat kerana melibatkan kepentingan keluarga beliau dalam projek kontroversi itu.
Beliau juga meminta Ketua Pemuda Umno, Khairy Jama­luddin disiasat kerana didakwa cuba memutarbelitkan fakta dan melindungi perbuatan pecah amanah.
“Saya nak tanya (Khairy) sekarang. Beli kondo RM9.8 juta, jawatankuasa teknikal mana yang luluskan? Mesyua­ratnya bila? Siapa yang pengerusikan? Cek-cek ini siapa tandatangan? Di mana kawalan ketat?” katanya.
Sementara itu, pada sidang media sama, Pengarah Stra­tegik PKR, Rafizi Ramli pula berkata, mereka mem­peroleh maklumat berhubung dakwaan transaksi untuk pem­belian kondominium berkenaan melalui enggan mendedah­kannya.