Saturday, November 19, 2011

Militan seludup senjata

PUTRAJAYA: Penahanan 13 individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 Isnin lalu, dibuat selepas kerajaan mendapat pengesahan mereka adalah anggota militan yang mendapat latihan ketenteraan dan terbabit dengan aktiviti penyeludupan senjata.

Justeru, akta berkenaan boleh digunakan kerana ia membabitkan aktiviti keganasan, sekali gus boleh mengancam keselamatan negara.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ISA masih digunakan ketika ini memandangkan dua akta baru bagi menggantikannya sedang digubal sebelum dikuat kuasakan sepenuhnya tahun depan.

“Penahanan mereka dibuat atas dasar keselamatan negara. Ini kerana risikan yang dibuat hasil kerjasama pihak polis dan pihak berkuasa Indonesia mendapati mereka ini adalah ahli kumpulan militan yang dikategori sebagai berbahaya bukan hanya kepada Malaysia, tetapi agensi lain di peringkat antarabangsa. “Kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan akta ini melainkan ia membabitkan pengganas. Apa yang kita lakukan berasaskan perkara yang serius,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di sini, semalam.


Hadir sama, timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar.


Isnin lalu, 13 individu ditahan di Tawau, Sabah kerana disyaki terbabit dalam kegiatan subversif, termasuk cubaan menghidupkan kegiatan militan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat. Semua individu yang berusia 30-an hingga 50-an itu ditahan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dalam operasi tiga hari bermula 14 hingga 16 November lalu hasil maklumat risikan. Penahanan individu itu mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

myMetro | Militan seludup senjata:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment