Tuesday, November 1, 2011

Nadia diarah bayar Lisdawati RM50,000

pix_gal0
Kenyataan pelakon dalam Media Hiburan berunsur fitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen semalam, memerintahkan pelakon Nadia Mustafar membayar ganti rugi RM50,000 kepada pelakon Lisdawati selepas membenarkan saman malu yang difailkan pada 21 April tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali yang membuat keputusan itu memerintahkan Nadia, nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar faedah empat peratus setahun bermula daripada tarikh penghakiman sehingga bayaran itu diselesaikan kepada Lisdawati atau nama sebenar, Nisdawati Nazaruddin.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi termasuk Lisdawati dan Nadia dan juga hujahan peguam Lisdawati, Sangeet Kaur Deo dan peguam Nadia, Siti Julaini Mohd Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob.

Kedua-dua pelakon berkenaan tidak hadir ketika keputusan dibacakan mahkamah.

Lisdawati memfailkan saman menuntut RM250,000 mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Katanya, majalah itu menyiarkan kenyataan Nadia pada keluaran pada 8 hingga 14 Januari 2005 yang membawa maksud Lisdawati meminjam wang daripada Nadia dan enggan membayar hutang itu kembali.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan artikel itu tidak mempunyai unsur fitnah, sebaliknya meminta supaya orang yang berhutang menjelaskan hutangnya.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana banyak usaha untuk meminta hutang itu tidak berhasil dan sebagai peringatan kepada pelakon terbabit supaya membayar hutangnya.

Sangeet sebelum ini berhujah, walaupun Nadia tidak pernah menyebut nama Lisdawati dalam wawancara bersama wartawan, wujud artikel lain dan juga maklumat di kalangan wartawan anak guamnya mempunyai masalah dengan Nadia.

Katanya, ketika nama anak guamnya disiarkan dalam artikel yang merujuk kepada masalah hutang Nadia membawa implikasi buruk kepada reputasinya sebagai seorang artis.
Berita Harian Online | Nadia diarah bayar Lisdawati RM50,000:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment