Pemuda UMNO dakwa diserang dengan kayu
JOHOR BAHRU 12 Nov. - Seorang ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang mendakwa cedera di kepala akibat diserang dengan kayu ketika membantah ceramah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dekat sini malam tadi.
Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan wakil Pemuda UMNO mendekati lokasi ceramah di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Perjiranan 9, Taman Air Biru sebelum dijemput untuk berdebat selama 10 minit.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad mendakwa, pelawaan itu dibuat sendiri oleh Mohamad atau Mat Sabu, malah pemimpin Pas itu memberi jaminan kawalan keselamatan terhadap kumpulan tersebut.
"Kami diyakinkan bahawa Unit Amal Pas akan menjamin keselamatan kami. Malangnya penyokong yang hadir tidak patuh pada arahan pemimpin mereka agar ceramah itu diadakan secara aman, lalu mereka menyerang kami," katanya ketika ditemui malam tadi.
Rohazam berkata, berikutan serangan itu, ahli Pemuda UMNO, Jamil Hussain, 38, terpaksa menerima empat jahitan akibat luka di kepala selepas timbul kekecohan akibat tindakan agresif segelintir penyokong pembangkang berkenaan.
Dalam pada itu, Rohazam mengucapkan terima kasih kepada polis yang berjaya mengawal keadaan dengan cepat dan mengelak daripada keadaan menjadi bertambah buruk.Utusan Malaysia Online - Jenayah:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment