MIRI 5 Dis. - Seramai 12,611 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negeri ini telah berjaya didaftarkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) sejak ia dilancarkan 1 November lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Datuk Robert Lian berkata, sehingga 1 Disember lalu, jumlah keseluruhan pekerja asing yang berdaftar di negeri ini ialah 98,732 orang.
"Sepanjang tempoh masa tambahan itu, komitmen kita makin meningkat bagi memastikan lebih banyak pekerja asing dapat didaftarkan secara sah," katanya ketika berucap melancarkan Sambutan Hari Terbuka Imigresen Peringkat Negeri dan pelancaran Depo Imigresen Bekenu dekat sini semalam.
Menurutnya, tempoh lanjutan pendaftaran sukarela PATI berkenaan sehingga 31 Disember ini berada pada landasan betul kerana komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kakitangan Imigresen.
Bagaimanapun katanya, sambutan yang kurang memberangsangkan oleh pihak majikan sedikit mengecewakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sehingga Oktober tahun ini, kira-kira 10 juta pekerja asing keluar masuk ke negeri ini dengan 4.5 juta adalah warga tempatan dan 5.5 juta warga asing.
Sementara itu katanya, pihaknya menerima sejumlah 1,311 atau 73 peratus maklum balas tentang perkhidmatan kaunter jabatan berkenaan.
"Oleh itu, saya meminta kakitangan jabatan supaya mengekalkan hubungan baik dengan rakyat khasnya pemimpin tempatan bagi memastikan kita mampu memainkan peranan terbaik dalam membangunkan negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment