Tarikh : December 30, 2011
KEPIS – Satu keluarga terpaksa menumpang teduh di pondok usang milik penduduk kampung selepas kehilangan tempat berlindung setelah rumah mereka terbakar pada Oktober lalu di Kepis Baru, dekat sini.
Roos Noor Faizli Razali, 30, bersama isteri, Zubina Ramli, 31, dan empat anak berusia antara 3 hingga 9 tahun hidup dalam kegelapan hampir setiap hari dan menahan kesejukan disebabkan pondok usang berkenaan yang sudah bocor, selain tiada bekalan air.
Roos Noor berkata, kehidupan dia sekeluarga semakin susah, lebih-lebih lagi dia turut hilang punca pendapatan.
“Pada mulanya saya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan di tanah orang, tetapi apabila tanah itu sudah diambil semula oleh tuan tanah, saya memang hilang punca pendapatan.
“Buat masa ini, saya hanya mengutip botol untuk dijual. Bukan tidak pernah terlintas untuk mencari kerja lain, tetapi memikirkan isteri dan anak-anak, saya terpaksa membataskan pergerakan,” katanya yang terpaksa mengangkut air dari rumah emaknya setiap hari untuk kegunaan harian.
Menurutnya, dia sudah pun membuat permohonan bantuan Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) selepas rumahnya terbakar.
“Tetapi sudah tiga bulan masih tiada sebarang jawapan diterima.
“Jika ada rumah yang selesa, saya tidaklah bimbang untuk meninggalkan isteri dan anak-anak dalam kegelapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pondok usang yang didiami kini sudah lama ditinggalkan kerana sudah banyak dinding kayu sudah reput.
“Kami hanya menggunakan bahagian depan sahaja manakala bahagian dapur tidak boleh diduduki kerana sudah roboh.
“Rumah didiami ini tidak mempunyai tingkap, jadi kami terpaksa menahan kesejukan pada setiap kali hujan terutama pada waktu malam. Saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment