Tuesday, December 13, 2011

Dakwaan pertelingkahan sempadan tak berasas


ANGKATAN Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) melakukan rondaan bersama di wilayah perbatasan di Kumba Semunying, Bengkayang, Kalimantan Barat Indonesia, semalam.



BENGKAYANG (Kalimantan Barat) 12 Dis. - Semua pihak tidak perlu khuatir berhubung dakwaan pertelingkahan sempadan Malaysia dan Indonesia di sini kerana ia tidak berasas.
Komandan Komando Resor Militer (Korem) 121/ABW, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD), Kolonel Toto Rinanto berkata, dakwaan itu dibuat berpandukan kedudukan penanda sempadan semata-mata.
Sedangkan, katanya, sempadan kedua-dua negara dimuktamadkan menggunakan koordinat satelit yang telah dipersetujui.
"Memang sudah ada permasalahan sempadan tetapi kita tidak usah khuatir, pertelingkahan penanda itu boleh terjadi di lapangan tetapi kita sudah memiliki koordinat di sepanjang sempadan.
"Jadi mahu hilang (penanda), mahu bertelingkah atau mahu ke mana sekalipun, kalau kita sudah ada koordinat, itulah yang kita sepakati, tiada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Rondaan Bersama Sempadan oleh TNI-AD dan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Pos Kumba Semunying di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah.
Sementara itu, Hasagaya sewaktu mengulas mengenai pertelingkahan sempadan Malaysia dan Indonesia menegaskan, ia telah diselesaikan di peringkat yang 'paling tinggi dan paling rendah'.
Katanya, perkara itu bukannya satu masalah mahupun satu isu memandangkan keadaan adalah terkawal.
"Saya bersama Kolonel Toto sentiasa berjumpa untuk melihat perkara ini, jika tempat itu berlaku (pertelingkahan sempadan), kami ke situ untuk tengok dan kami akan pastikan segala bentuk tuduhan itu tidak berlaku," katanya.
Pada Oktober lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan melempar batu, kayu, buluh serta telur ke kawasan kedutaan.
Ia berikutan dakwaan Naib Ketua Komisi 1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B Hasanuddin bahawa republik itu kehilangan 1,400 hektar tanah di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu yang didakwa diambil oleh Malaysia.

No comments:

Post a Comment