Sunday, December 11, 2011

Dr M: Shahrizat patut undur sebelum 'dihalau'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil enggan mengulas gesaan bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia itu meletak jawatan berhubung skandal penyalahgunaan dana RM250 juta ($103 juta) membabitkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikendalikan ahli keluarganya.

Dr Mahathir, yang masih mempunyai pengaruh dalam Umno, kelmarin memberitahu para wartawan bahawa ketua Wanita Umno itu seharusnya meninggalkan Umno sebelum 'dihalau' oleh partinya.

Datuk Seri Shahrizat diminta oleh laman berita The Malaysian Insider untuk mengulas kenyataan Dr Mahathir itu selepas satu majlis pelancaran Permata Expo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengendahkan soalan itu sebelum meninggalkan majlis tersebut.

Datuk Seri Shahrizat dihantui kontroversi projek NFC yang diberikan kepada ahli keluarganya itu, sejak beberapa minggu lalu.

Bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu kelihatan mendapat sokongan daripada kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita Umno semasa perhimpunan agung parti itu minggu lalu, selepas menafikan terbabit dalam sebarang salah laku berhubung projek penternakan lembu kebangsaan yang kontroversial itu.

Namun, para pemimpin Umno lain, termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, telah menggesa beliau meletak jawatan daripada 'menyusahkan' parti tersebut.

Kelmarin, Dr Mahathir pula berkata Datuk Seri Shahrizat sewajarnya berundur daripada politik jika tindakan itu perlu dilakukan bagi membantu Umno.

'Jika kita merasakan ia adalah penting demi parti, kita berundur. Ketika saya hendak berundur, saya tidak bertanya sesiapa. Saya berharap yang lain akan berbuat begitu. Jangan tunggu orang menghalau anda keluar. Ya, ukur baju di badan sendiri,' katanya.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment