Friday, December 16, 2011

Senjata Steyr dalam kes samun bank disyaki milik anggota tentera: KPN

KUALA LUMPUR: Senjata jenis 'Steyr' yang digunakan dalam cubaan melarikan wang tunai RM253,000 di sebuah bank di Taman Muda, Ampang, Selasa lalu, dipercayai milik seorang anggota tentera berpangkat pegawai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar,berkata perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tentera.
"Kami telah memberitahu kepada Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) mengenai perkara itu untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Ismail berkata polis percaya terdapat suspek lain yang terlibat dalam insiden itu dan sedang mengesan individu terbabit.

Polis menemui senjata berkenaan pada suspek yang ditembak mati seorang pengawal keselamatan dengan "pump gun" ketika hendak melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan sedang mengesan seorang suspek berhubung kes kehilangan Timbalan Presiden Komuniti Sukan Korea Selatan di Malaysia, Kim Chong Yong yang dilapor hilang sejak hujung Oktober dan dipercayai dibunuh.

"Polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di luar negara. Kita minta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan suspek yang juga ada hubung kait dengan mangsa," katanya.
Katanya, polis kini giat mengesan bukti selain mencari mangsa.

Semalam, polis mengesan isyarat telefon bimbit Kim, 53, yang juga ahli perniagaan, di sekitar kawasan hutan antara Batu 14 hingga Batu 25 Jalan Gombak-Bentong dekat sini.

Terdahulu, Pemangku Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Hanafi menyerahkan tugas itu kepada Datuk Mortadza Nazarene yang sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, sambil disaksikan Ismail.

Mortadza, 55, menyertai PDRM sejak 1984 dan pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 2002.

Pada 2007, beliau menjadi Ketua Polis Melaka sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah 1 JSJ Bukit Aman. - BERNAMA
Berita Harian Online | Senjata Steyr dalam kes samun bank disyaki milik anggota tentera: KPN:

No comments:

Post a Comment