Saturday, December 17, 2011

Suami lumpuh, keluarga hilang punca pendapatan



Hasbi Dollah (kanan) dan anak-anak menemani Ahmad Suhaimy Mat El yang terlantar sakit di rumah mereka di Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 16 Dis. - Seorang isteri, Hasbi Dollah, 40, buntu memikirkan masa depan keluarganya apabila suami yang menjadi tempat bergantung selama ini lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan Oktober lalu.

Lebih memeritkan Hasbi apabila suaminya, Ahmad Suhaimy Mat El, 43, yang dahulu seorang buruh kasar, tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan dan bergantung sepenuh kepadanya untuk urusan seharian.

Apa yang membimbangkan ibu kepada empat orang anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu ialah, dia sendiri mengalami masalah kesihatan dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan sehingga tidak mampu bekerja bagi mencari nafkah.

"Saya memerlukan kira-kira RM1,100 sebulan untuk perbelanjaan suami termasuk mendapatkan susu dan lampin pakai buang. Kos tersebut tidak termasuk perbelanjaan anak-anak kami.

"Suami saya hanya bergantung kepada susu jenis Ensure sebagai makanan dan minumannya dan setiap hari dia perlu menghabiskan satu tin susu berkenaan yang berharga RM32.50," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machang Limbat, Kubang Kerian di sini hari ini.

Lantaran itu, Hasbi mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat untuk membantu meringankan bebannya sekeluarga.

Menceritakan lebih lanjut kejadian yang menimpa suaminya, wanita itu memberitahu, Ahmad Suhaimy terbabit dalam kemalangan dua bulan lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pulau Gajah dekat sini.

Menurutnya, kemalangan tersebut menyebabkan suaminya hilang upaya dan lumpuh seluruh tubuh serta hanya mampu terlantar.

"Hanya tangan kanan mampu digerakkan, tetapi dia tidak mampu untuk memegang sebarang objek seolah- olah urat saraf dan sendi tidak lagi berfungsi.

"Sejak kejadian itu, dia hanya terlantar sehingga berkudis di bahagian belakang mungkin disebabkan pengudaraan yang tidak sempurna. Selain itu, dia juga pernah koma selama sebulan akibat kemalangan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia Online - Timur:

No comments:

Post a Comment