Thursday, December 1, 2011

Tunggu masa sembah bumi


Tunggu masa sembah bumi

Oleh : Wartawan Sinar Harian
KARANGAN - Siapa sangka dalam rumah usang yang semakin reput akibat dimakan anai-anai, seorang warga emas, Aminah Saad, 88, masih mendiami rumah peninggalan arwah suaminya yang meninggal dunia sejak 1973 di Kampung Paya Kelubi.
Walaupun terpaksa menghabiskan masa tuanya berseorangan di rumah itu, tetapi dia masih bersyukur kerana memiliki rumah sendiri dan tidak tinggal menumpang.
Ketika Sinar Harian membuat lawatan ke rumahnya bersama Majlis Ketua Kampung (MKK), Aminah hanya terbaring kerana tidak sihat tetapi masih mampu mempelawa tetamu masuk ke rumahnya.
Apa yang menyedihkan rumah Aminah rosak hampir 90 peratus di mana kebanyakan lantai di rumahnya reput dan atapnya bocor.
“Rumah ini dibina suami makcik. Makcik dan empat anak tinggal di rumah ini sejak dulu lagi. Apabila suami meninggal dunia, makcik terpaksa menoreh getah untuk menampung keperluan harian. Anak bongsu dulu tinggal di sini tetapi dia kemudiannya meninggal dunia pada Ogos 2007.
“Memandangkan makcik tinggal berseorangan, anak sulung pula tinggal di rumah ini. Dia banyak membantu menguruskan rumah ini tetapi makcik redha apabila dia juga meninggal dunia Januari 2011 lalu. Sekarang makcik tinggal berseorangan dan menantu makcik, Hasnah sering datang untuk menghantar makanan. Makcik faham dia mempunyai keluarga sendiri dan terpaksa membahagikan masa untuk keluarganya dan makcik,” katanya.
Hasnah Endut, 59, berkata, sehingga kini Aminah hanya menerima bantuan daripada Pusat Zakat yang memberikan bantuan setahun sekali.
Menurutnya, permasalahan Aminah tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak termasuk ahli politik dari mana-mana parti di Padang Serai.
Katanya, memandangkan keadaan rumah ibu mertuanya semakin uzur, dia meminta mana-mana individu, badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membantu membaik pulih rumah Aminah.
“Sehingga hari ini permasalahan dihadapi mak saya langsung tidak diketengahkan oleh mana-mana pihak atau mendapat perhatian dari sesiapa. Rumah ini merupakan rumah pusaka dan keadaannya sangat membimbangkan kerana keseluruhan rumah ini sudah reput dan rumah ini menunggu masa untuk runtuh.
“Tiga bulan lalu MKK ada membuat lawatan ke rumah ini tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang khabar berita di mana ada pihak yang mahu membantu membaik pulih rumah kami ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana NGO untuk membaik pulih rumah Aminah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu rakyat yang berhadapan dengan kemiskinan.
“Saya hairan masalah di depan mata kita masih menafikan. Takkan kita nak tunggu rumah ini runtuh barulah bantuan dapat disalurkan. Ini merupakan kes kedua sepanjang tempoh sebulan yang diketengahkan Sinar Harian di mana ia melibatkan permasalahan penempatan penduduk kampung. Sebelum ini, kes tiga beranak tinggal dalam rumah berlantaikan tanah di Kilang Sago diketengahkan. Di manakah wakil parti politik di kawasan ini.
“Kita boleh memberikan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Aminah. Memadai dengan membina rumah yang hanya memiliki dua bilik kerana dia tinggal berseorangan dan tanah ini miliknya,” katanya.
Mohd Zailan berkata, pihaknya juga berusaha untuk mendapatkan bantuan barang binaan dan meminta penduduk kampung untuk melakukan gotong-royong untuk membaik pulih rumah Aminah.
Tunggu masa sembah bumi - Utara - Sinar Harian:

No comments:

Post a Comment