Saturday, August 13, 2011

Artikel fitnah: Utusan buat laporan polis


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jabatan Pengarang Utusan Malaysia hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyiaran artikel fitnah oleh sebuah laman web menggunakan kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia palsu bagi mengelirukan pembaca.
Laporan polis itu dibuat berikutan tindakan laman web tersebut menyiarkan artikel bertajuk 'Kontroversi Cincin Rosmah: Beli sendiri guna duit menabung dari kecil' yang diterbitkan sejak 15 Julai lalu.
Menurut Penasihat Undang-undang, Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Mohd. Jefri Daman, penerbitan berita itu tidak ada kena-mengena dengan Utusan Malaysia.
"Pengendali laman web tersebut cuba mengelirukan pembaca kononnya berita itu disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia.
"Sejak 15 Julai sehingga petang ini, seramai 721 pengikut telah melayari laman web tersebut dan apa yang membimbangkan orang ramai akan terpedaya dengan taktik kotor pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Laporan polis itu dibuat oleh Mohd. Jefri mewakili akhbar ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira pukul 5 petang tadi.
Beliau berharap polis akan menyiasat motif dan identiti pengendali laman web terbabit.
"Ramai pembaca menghubungi pihak Utusan Malaysia memaklumkan keliru dengan artikel yang disiarkan melalui laman web tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment