Thursday, January 12, 2012

Hasan tidak hadir

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tidak menghadiri mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Difahamkan, Dr Hasan yang dipecat keahliannya oleh Pas pada Ahad lalu bercuti, tetapi tidak diketahui sehingga bila.


Wartawan yang menunggu Menteri Besar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco juga gagal mendapat komen Abdul Khalid mengenai jawatan portfolio yang dipegang Dr Hasan itu apabila Abdul Khalid tidak hadir pada sidang akhbar seperti kebiasaan kerana dikatakan mempunyai urusan rasmi.

Beberapa barisan Exco kerajaan Selangor yang ditemui pula hanya memberikan komen ringkas dan enggan mengulas lanjut berhubung siapa bakal mengganti Dr Hasan sekiranya jawatan itu dikosongkan secara rasmi kelak. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar A Samad berkata, nama yang bakal dicalonkan untuk menggantikan Dr Hasan hanya akan diputuskan Menteri Besar dalam masa terdekat selepas berbincang dengan kepemimpinan Pas pusat. Katanya, kerajaan negeri juga perlu menunggu senarai nama daripada pucuk pimpinan Pas Pusat bagi mengelak sebarang spekulasi berkenaan calon yang digembar-gembur untuk menggantikan tempat Dr Hasan.


“Saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai siapa yang bakal menggantikan Dr Hasan kerana ia seolah-olah akan membelakangi Menteri Besar dan kepemimpinan Pas Pusat.


“Jadi lebih baik jika Menteri Besar yang mengumumkan nama yang akan menggantikan Dr Hasan bagi mengelak sebarang salah faham dan menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Selangor, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu yang menggantikan Abdul Khalid dalam sidang media terbabit mengesahkan Dr Hasan tidak hadir mesyuarat Exco itu.


“Dr Hasan sedang bercuti dan tempoh dia bercuti tidak diketahui. Dalam mesyuarat Exco hari ini tidak membincangkan isu penggantian Dr Hasan lagi. Kita tunggu Menteri Besar beri penjelasan,” katanya.

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Abdul Rani Osman ketika dihubungi pula berkata, Pas negeri akan menunggu hasil pertemuan Abdul Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dijadualkan esok sebelum mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pengganti Dr Hasan.


“Pas belum ada calon dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada Pas pusat. Saya pun diberitahu oleh Menteri Besar semalam (kelmarin) untuk hanya menyediakan nama selepas beliau menghadap Sultan,” katanya.


Selepas dipecat Pas pada Ahad lalu, Dr Hasan ketika ditanya mengenai kedudukannya dalam kerajaan Selangor, berkata beliau akan menjalankan tugas seperti biasa kerana pelantikannya sebagai Exco bergantung kepada Abdul Khalid dan mendapat perkenan Sultan Selangor.


Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri turut dilaporkan berkata, walaupun Abdul Khalid mahu menggugurkannya, Menteri Besar perlu mendapat perkenan tuanku terlebih dulu sebelum berbuat demikian.

myMetro | Hasan tidak hadir:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment