Hassan Ali

SHAH ALAM - Sokongan akar umbi terhadap Pas Selangor tidak terjejas sama sekali walaupun parti itu telah memutuskan untuk memecat bekas pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali berkuat kuasa 8 Januari lalu.

Sebaliknya parti Islam itu berharap Hasan akan mengadakan program penerangannya setiap hari agar rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap wakil rakyat tersebut.

Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, berdasarkan tinjauan di keseluruhan bahagian Pas di negeri itu, pihaknya mendapati ahli-ahli tidak terpengaruh dengan isu terbabit.

Menurutnya, ahli-ahli Pas memahami faktor pemecatan Hasan dan kini kembali menumpukan fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya.


"Ekoran pemecatan terbabit, kita telah menerima laporan dari 22 kawasan bahawa kita tidak terjejas dengan pemecatan Dr Hasan Ali ini," katanya dalam sidang media Pas Selangor di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman pula menyifatkan program jelajah ke seluruh negara yang dianjurkan oleh Hasan tidak memberi kesan kepada parti itu.

Menurutnya, ahli Pas yang hadir dalam program tersebut hanya segelintir dan datang kerana mahu mendengar sendiri hujah yang dari Hasan.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru mencadangkan agar program seumpama itu dibuat setiap hari bagi memudahkan rakyat menilai sendiri niat sebenar Hasan.

"Dalam program yang beliau adakan di tempat saya, warga tempatan yang sekitar 100 orang, selebihnya ahli-ahli Umno," katanya.

Sementara itu, Pas Selangor turut menyifatkan permasalahan dengan Hasan ini bermula sejak beliau kehilangan jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri dan kedudukan dalam parti itu.

Ketua Pemuda Pas Negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, rakyat diharap tidak tertipu dengan kenyataan Hasan, yang menerima galakan dan sokongan daripada pihak tertentu atas sebab kepentingan politik mereka.

Menurutnya, Pas Selangor menyokong penuh keputusan kepimpinan pusat memecat beliau atas sebab tindak tanduk dan kenyataan Hasan sejak kebelakangan ini.

"Kemarahan beliau terhadap Pas semakin melonjak apabila diketahui bahawa beliau tidak dicalonkan oleh Pas Gombak Setia (untuk bertanding) dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Keadaan ini telah menyebabkan beliau sanggup menidakkan segala yang pernah beliau iyakan sebelum ini," katanya.