Wan Azizah

SHAH ALAM - Fayyad Afiq Albakqry, pengawal peribadi kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disyaki disuntik racun dan menyebabkannya pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, tengah malam tadi.

Fayyad dipercayai diserang menerusi suntikan di telapak tangan kiri sewaktu mengiringi Wan Azizah meredah kesesakan orang ramai ke pentas ceramah di Kampung Cherok Tokkun.

Laporan laman web Keadilandaily menyebut, mangsa dikatakan ada meminta ais daripada wartawan PenangDaily, Zainulfaqar kerana tangannya berasa kebas, sebelum pengsan kira-kira 15 minit selepas terkena suntikan itu.

“Masa nak masuk sini, dia (Fayyad) dah minta ais sebab tangannya kebas. Masa bawa Kak Wan Azizah keluar tadi, dia dikejar ke hospital,” Zainulfaqar dipetik menulis dalam Twitternya.

Beliau juga memetik sumber dikenali sebagai Zul Saad yang menyatakan Wan Azizah menangis berikutan keadaan Fayyah ketika pengawal peribadi itu belum sedarkan diri.

Fayyad adalah pegawal peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang patah tulang pipi akibat terkena kelongsong gas pemedih mata ketika demonstrasi Bersih 2.0.